Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Dua lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan memukul seorang lelaki tempatan.
Mohammad Faizz bin Abdullah, 18, dan Amali Syaham bin Mohamad, 21, didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa dengan memukul badannya berulang kali di kawasan rumah Rancangan Perumahan Negara Pandan 7, Kuala Belait pada 13 Januari 2017.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan juga denda
Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliah binti Haji Ibrahim memohon penangguhan kes selama seminggu sementara menunggu laporan perubatan mangsa dan keterangan daripada saksi dan tertuduh sendiri.
Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain menetapkan 23 Januari untuk sebutan semula dan membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin $1,500 atau seorang penjamin tempatan setiap seorang.
































