Pukul guna batang besi, warga asing dipenjara

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Seorang lelaki warga Bangladesh dijatuhi hukuman empat bulan penjara dan satu sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan kepada lelaki berusia 41 tahun.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menjatuhi hukuman itu terhadap Thakor Das, 36, yang mengaku bersalah memukul bahu dan lengan mangsa menggunakan batang besi.

Siasatan polis mendapati tertuduh pada 17 Oktober 2019 pergi ke kawasan membeli-belah di Mulaut untuk mencari tiga lelaki warga Indonesia yang disyaki telah menuduhnya mencuri sebuah basikal. Tertuduh bagaimanapun hanya terlihat mangsa yang sedang duduk bersama seorang rakannya. Tertuduh menanyakan mangsa sama ada dia yang menuduhnya melakukan curi basikal itu.

Melihat mangsa berdiam diri, tertuduh terus memukulnya.Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hidayatul Aeny Alisah binti Haji Zullizam.