Pulang bersama kejayaan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada para pegawai dan atlet sukan wusyu, karate, polo dan biliard termasuk assistant chef de mission, urus setia serta pegawai dan kakitangan perubatan telah kembali ke Negara Brunei Darussalam selepas berada di Filipina bagi menyertai Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-30, Filipina 2019.

Berada di Ruang Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi menyambut ketibaan kontinjen negara dan seterusnya mengalungkan sesandang dan memberikan ucapan tahniah ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Juga hadir bagi mengalu-alukan kepulangan para kontinjen negara ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said; Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; dan pegawai-pegawai kanan KKBS.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan antara lain mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan meraih pingat serta mempamerkan kesungguhan di sepanjang kejohanan.

Selain itu, beliau juga mengucapkan penghargaan kepada para urus setia yang juga berusaha sebaik mungkin dalam melancarkan perjalanan acara dan memastikan para atlet dan keseluruhan kontinjen negara berada dalam keadaan selesa dan baik ketika berada di sana.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bergambar ramai bersama kontinjen yang baru pulang selepas menyertai Sukan SEA ke-30.
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan mengalungkan sesandang kepada salah seorang atlet.

Beliau turut memberikan semangat kepada para atlet untuk tetap meneruskan usaha dalam meningkatkan prestasi masing-masing terutamanya dalam menghadapi temasya sukan yang akan datang.

Kontinjen negara berjaya membawa pulang satu pingat emas, tiga pingat perak dan dua pingat gangsa melalui acara wusyu.

Sementara itu, atlet polo bagi acara Divisyen B gol rendah 0-2 berjaya membawa pulang pingat emas kedua buat negara.

Seterusnya melalui acara polo juga berjaya meraih pingat gangsa dalam acara Divisyen A gol tinggi 4-6.

Ketika ditemui pihak media petang tadi, Awang Mohammad Adi Salihin turut menyatakan bahawa setelah berjaya meraih pingat emas pada Sukan SEA baru-baru ini, beliau akan berusaha lebih gigih dalam melakukan latihan wusyu bagi menghadapi Sukan Asia akan datang.

Jumlah kutipan pingat bagi Kontinjen Negara Brunei Darussalam bagi edisi Sukan SEA ke-30 ialah dua pingat emas, lima pingat perak dan enam pingat gangsa dengan jumlah keseluruhan sebanyak 13 pingat.