KUCHING, 4 FEB – Pemain industri pelancongan di Sarawak diminta memulangkan semula bayaran atau melanjutkan tempoh sah tempahan yang diterima mereka daripada pelancong luar sebagai pendekatan semasa menghadapi jangkitan koronavirus novel.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pendekatan ini adalah untuk mengelakkan pemain industri dan pelancong dari mengalami kerugian ekoran isu jangkitan koronavirus berkenaan.
“Sektor pelancongan amat penting kepada negara, kebanyakan tempahan yang datang untuk melancong atau untuk lawatan sosial di dalam atau luar negara telah dibatalkan.
“Justeru itu, bagi mengelakkan kerugian, kementerian berharap agar syarikat penerbangan, perhotelan dan pengangkutan untuk mempertimbangkan keputusan bagi memulangkan semula bayaran atau memanjangkan tempoh tempahan yang telah dibuat oleh pelanggan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini. – Bernama




























