Pulau Gorgona hidupkan kenangan silam penjara maut

PULAU GORGONA, COLOMBIA – Pada akhir bulan Oktober, seorang calon presiden menghidupkan kenangan silam apabila bercadang menghantar ahli politik korup ke bekas penjara pulau terkenal di Gorgona, Colombia.

Tidak ada sesiapa yang memandang serius ugutan tersebut tetapi ia membangkitkan minat mengenai sejarah Colombia yang tidak banyak diketahui yang boleh dibandingkan dengan Alcatraz atau Pulau Robben.

Sehingga 1984, pulau seluas 26 kilometer persegi yang terletak di sepanjang 55 kilometer pantai Pasifik Colombia ini merupakan tempat tragik di mana tahanan politik dan penjenayah berbahaya dihantar untuk menjalani hukuman mereka, ada kalanya sehingga mati.

Jauh daripada mereka yang ingin tahu dan di kalangan beberapa spesies ular berbisa, banduan dibiarkan menderita di tangan pengawal penjara yang kejam atau rakan banduan yang ganas.

“Jahanam tempat ini,” tulis seorang bekas banduan dalam satu puisi.

Corazon de Jesus Aguino (kiri), renjer hutan, bercakap kepada pelancong di penjara di Pulau Gorgona, di Lautan Pasifik, barat daya Colombia. – AFP
Kelihatan bilik tidur di penjara Pulau Gorgona. – AFP
Pemandangan udara Pulau Gorgona, tempat terletaknya penjara terkenal di Lautan Pasifik di luar barat daya Colombia. – AFP

Kini, hanya beberapa dinding penjara yang masih kekal di pulau yang menarik sejumlah kecil pelancongan ekologi, kebanyakannya untuk aktiviti selam skuba atau meninjau biodiversiti yang amat menakjubkan.

Satu-satunya cara untuk sampai ke Gorgona adalah perjalanan bot selama dua jam dari bandar pantai Guapi, tersembunyi di tengah-tengah pokok bakau.

Gorgona ialah daratan yang terdiri daripada gunung berapi dan hutan, dengan hujan harian dan perairan dipenuhi dengan dolfin dan ikan paus.

Ia ditemui pada 1526 oleh penakluk Sepanyol, yang kehilangan 87 anggota kepada gigitan ular berbisa dalam tempoh beberapa bulan selepas tiba.

Ia dengan itu dinamakan sempena Medusa, wanita menggerunkan dalam mitos di mana rambutnya terdiri daripada ular dan yang boleh menukar orang kepada batu dengan melihat dalam mata mereka.

Untuk seketika, ia merupakan tempat lanun sebelum jatuh kepada pihak persendirian. Kerajaan Colombia memperuntukkannya pada 1960 untuk membina penjara.

“Terdapat banyak kisah legenda mengenai Gorgona,” kata Corazon de Jesus Aguino, 35, juruteknik taman dan selebriti tempatan.

“Kebanyakannya tidak dapat disahkan,” tambahnya. “Apa yang pasti adalah ia merupakan tempat hukuman dan penderitaan dahsyat.”

Lebih 1,000 tahanan pernah meng-huni penjara itu: pembunuh dan perogol, tetapi juga tahanan politik daripada La Violencia, perang saudara 10 tahun Colombia di antara parti konservatif dan liberal.

“Penjara dibina berdasarkan kem Nazi,” kata De Jesus Aguino.

Beberapa laman dalam mempunyai asrama, masing-masing dengan ‘koridor maut’ tersendiri yang membawa ke kawasan disiplin.

“Pelawat kadangkala mempunyai perasaan negatif,” tambah De Jesus Aguino.

Banduan tidur di katil dua tingkat kayu, selalunya di atas papan tanpa tilam.

“Setiap banduan diperuntukkan katil berdasarkan nombor,” katanya.

Pelawat jarang datang, dan senaman di luar hanya dibenarkan kepada banduan untuk membantu menebang pokok di hutan.

Seramai 120 pengawal mengawal tanpa belas kasihan. “Tidak ada apa-apa yang tinggal di sini,” ujar De Jesus Aguino.

Satu tempat yang melambangkan kesengsaraan penjara: bilik disiplin dengan sel pengasingan yang dikelilingi batang besi.

Hukuman yang paling digeruni adalah ‘the can’- lubang selebar 80 sentimeter di mana banduan dipaksa berdiri berhari-hari lamanya dalam air kotor sehingga paras leher.

“Seksaan, makanan dijangkiti dan layanan teruk…apabila saya tiba, Gorgona bagaikan neraka,” kata pengarah terakhir penjara, Miguel Dario Lopez, yang bercakap kepada AFP di Bogota.

“Pengawal di sini adalah pencuri, korup dan mereka membalas dendam ke atas banduan,” kata Lopez, yang sudah bersara sekarang.

“Sepuluh ‘can’ masih digunakan. Saya menghentikan kesemua itu. Penyeksaan juga dilakukan menerusi kelaparan. Banduan hanya dibenarkan makan ubi kentang dan sedikit nasi, ada kalanya ular yang masih mentah.

“Banduan sering menangis, mereka semua mempunyai masalah mental…mereka bunuh sesama sendiri dengan pisau buatan sendiri atau mencekik sesama sendiri dengan kain koyak-rabak.”

Selain ular dan labah-labah tarantula, ‘pantai dipenuhi dengan ikan yu dan barakuda, ia bukan legenda,” katanya.

Pada keseluruhannya, hampir 150 banduan mati di Gorgona,’ anggarnya, menafi mayat dibuang ke dalam laut.

“Dengan bantuan paderi, kami bekerjasama untuk mengintegrasikan semula banduan.”

“Satu jawatankuasa hak asasi manusia’ ditubuhkan di setiap laman penjara.

“Makanan dipertingkat dengan mengajar beberapa banduan bagaimana menangkap ikan. Jumlah pelawat beransur-ansur meningkat.”

“Menerusi muzik, melukis malah belajar bahasa Latin, kami berjaya menenangkan banduan dan mengajar mereka memaafkan orang,” kata Lopez, menunjukkan parut besar di tapak tangannya apabila cuba meleraikan satu perkelahian menggunakan pisau.

“Dengan saya, tidak adanya kematian lagi,” tambah beliau, sambil menunjuk gambar dirinya bergambar bersebelah seorang pelarian, yang ditangkap selepas tiga hari di laut di atas rakit balak.

“Amat susah untuk melarikan diri.”

Kebanyakan banduan yang melarikan diri diambil oleh kapal yang melalui dan kembali ke pulau namun ‘lima atau enam berjaya melepaskan diri.’

Penjara itu ditutup pada 1984 selepas menerima tekanan daripada pertubuhan hak manusia, serta pakar ekologi dan saintis yang ingin melindungi keindahan alam semula jadi pulau selepas 70 peratus daripada hutan telah ditebang oleh banduan.

Sejak itu, hutan berkenaan telah menuntut semula wilayahnya yang lenyap.

“Penduduk Colombia perlu meninjau tempat bersejarah yang tersembunyi ini,” kata Omar Nanez, satu-satunya pelancong yang melawat pulau itu bersama AFP.

Berdasarkan betapa cepatnya puing-puing ditumbuhi tumbuh-tumbuhan, ‘kerajaan perlu memutuskan apa yang ingin dilakukan untuk memelihara penjara itu,’ kata seorang pekerja taman negara.

“Adakah ini satu aset budaya atau sejarah? Atau haruskah ia dibiarkan lenyap selama-lamanya?” – AFP