Pulau Hambak sah wilayah Korea Utara

SEOUL, 20 SEPT – Pusat Perintah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNC) mengiktiraf pulau sempadan Hambak di Laut Kuning sebagai sebuah wilayah Korea Utara, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik kenyataan seorang pegawai kementerian pertahanan Seoul hari ini.

Kontroversi meletus baru-baru ini berkaitan pemilikan pulau kecil yang tidak dihuni berhampiran Garisan Had Utara (NLL), sempadan maritim de facto, selepas beberapa data kerajaan dan peta melakukan kesilapan dengan menandakannya sebagai sebuah wilayah Korea Selatan.

Dalam satu temu bual dengan Voice of America pada Jumaat, bekas komander UNC Jeneral Vincent Brooks mendakwa pulau itu terletak di selatan NLL meskipun ia adalah di utara garisan yang dihasilkan Korea Utara sebagai garisan keselamatannya.

Bagaimanapun, kementerian pertahanan berkata ia yakin pulau itu terletak di utara NLL memandangkan kawasan bidang kuasa telah ditetapkan semasa satu perjanjian gencatan senjata ditandatangani pada 1953, yang menyatakan bahawa data serta peta telah tersilap dan akan diperbetul. – Bernama