Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Pulau Nami Malaysia’ gamit pengunjung ke Kelantan

    BACHOK – Ribuan deretan pohon rhu pantai dan pohon kayu putih (Eucalyptus) yang tersusun indah mengujakan sesiapa sahaja sebaik sampai di Pantai Senok di sini, bersesuaian dengan julukannya sebagai ‘Pulau Nami Malaysia’.

    Keindahan jujukan pokok di situ meniti bibir pelancong domestik dan luar negara, seraya menarik minat sesiapa sahaja untuk berswafoto, berkelah bersama keluarga, bersantai bersama rakan atau kumpulan, malah pasangan pengantin baharu turut menjadikannya sebagai lokasi bagi mengabadikan kenangan terindah.

    Menurut Ketua Penolong Setiausaha (Pelancongan dan Kebudayaan) Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan Nik Mahmud Nik Jaffar, selepas kira-kira 4,344 pokok rhu pantai dan kayu putih ditanam di sepanjang pantai itu sejak 2009 dengan tambahan 400 lagi anak pokok rhu pada Disember tahun lepas, sudah pasti pantai itu boleh dimajukan lagi sebagai kawasan tarikan pelancong.

    “Segelintir orang menyebut Pantai Senok ini sebagai Pulau Nami (sebuah pulau peranginan di Korea Selatan) versi Malaysia dengan adanya deretan pokok rhu yang tinggi, tersusun indah dan mengujakan itu.

    “Ia menjadi bonus buat Kelantan apabila Pantai Senok yang dahulunya terkenal sebagai perkampungan nelayan, kini menjadi tumpuan ramai berikutan julukan nama itu,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

    Asma Zulkifli, 20, (kanan) dan Anis Nabila Izzati Abdul Rahman, 20, berswafoto di Pantai Senok yang indah dengan susunan pokok rhu, sesuai bagi mereka yang suka memuatnaik gambar-gambar menarik di laman media sosial. – Bernama
    Rusuela Harun, 38, merakamkan gambar anaknya Nur Naditul Najiha, 17, di Pantai Senok dengan susunan pokok rhu yang ditanam ala-ala di Pulau Nami di sini. Permukaan tanah dipenuhi daun pohon rhu yang mati umpama hamparan permaidani serta susunan pokok rhu seakan anda berada di Pulau Nami Korea. – Bernama
    Putra Eilman Al-Ziq Afrizam, 11, (kiri) bersama adiknya Putri Azzalea Amanda Afrizam, 8, menikmati keindahan di Pantai Senok dengan susunan pokok rhu yang cantik.

    Nik Mahmud berkata transformasi keindahan alam di situ juga bagaikan satu lubuk rezeki baharu kerana penduduk setempat boleh memperoleh pekerjaan atau sumber pendapatan baharu dengan memasarkan produk industri kecil dan sederhana (IKS) seperti hasil laut, kraf tangan dan makanan.

    Beliau berkata sejak Pantai Senok semakin dikenali, ia telah membantu melonjakkan jumlah kedatangan pelancong ke Kelantan tahun lepas dengan mencatat seramai 4.3 juta pelancong termasuk 300,000 pelancong antarabangsa atau 92 peratus pelancong domestik dan selebihnya pelancong antarabangsa.

    “Pada asalnya pokok rhu ini ditanam oleh Jabatan Perhutanan Kelantan Program Pemuliharaan Kawasan Pesisir Pantai negeri bagi mengelak hakisan pantai dan banjir.

    “Ia suatu inisiatif bijak apabila pokok-pokok rhu dan kayu putih ini membesar, ia memberi satu perubahan keindahan alam semula jadi di Pantai Senok yang menakjubkan, malah dengan adanya beberapa tarikan lain seperti makanan dan minuman unik ia sekali gus melengkapkan daya tarikan sedia ada,” katanya.

    Menurut beliau kerajaan negeri, bersama Majlis Daerah Bachok, Bandar Pelancongan Islam dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Jajahan Bachok sentiasa mengadakan usaha ke arah menarik pelancong, termasuk menyediakan perkhidmatan bas pelancong di bawah pakej ‘Kelantan Sightseeing Tours – Jom Maghi Derak Kelate’ (Mari Melancong Ke Kelantan).

    Ketika tinjauan di Pantai Senok, Bernama sempat bertemu dengan Halmahera Mat Salleh, 44, yang pernah melancong ke Pulau Nami pada 2016.

    Halmahera berkata susunan pokok rhu di Pantai Senok itu hampir sama dengan keindahan di Pulau Nami, namun yang membezakannya ialah pulau itu ditanam dengan pokok maple yang daunnya berwarna-warni mengikut perubahan musim.

    “Di Pulau Nami, kemudahan yang disediakan lengkap dan teratur, ada laluan pejalan kaki, ada papan tanda yang sarat dengan informasi, restoran halal, surau, perpustakaan dan kafeteria. Saya harap di Pantai Senok disediakan kemudahan seperti tandas, surau dan bekalan air,” katanya.

    Bagi Asma Zulkifli, 20, dari Machang berkata dia bersama rakan dan keluarga sudah beberapa kali mengunjungi Pantai Senok untuk melihat keindahan serta keunikan kawasan yang kini menjadi tumpuan pelancong.

    Katanya selain rimbunan pokok di situ, turut menjadi tarikan pengunjung ialah rumah api paling kecil terletak di pinggir Pantai Senok dan juga kesan tinggalan sejarah pendaratan Jepun di Pantai Kuala Pak Amat, Sabak, yang terletak berhampiran. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda