Pulau pelancong Vietnam dibuka semula dengan impian besar

PHU QUOC, VIETNAM – Pemandu pelancong, Lai Chi Phuc menghitung hari sehingga pengembara kembali ke pantai berpasir putih dan hutan tropika tebal di Phu Quoc Vietnam, sebuah pulau nelayan yang dahulunya miskin yang terdesak mahu menjadi kawasan tumpuan percutian Asia seterusnya apabila sekatan wabak semakin berkurangan.

Pada Sabtu lalu, kira-kira 200 warga Korea Selatan telah mendarat di pulau itu, yang terletak beberapa kilometer dari Kemboja di perairan biru Teluk Thailand, selepas skim pasport vaksin dimulakan bulan ini di Vietnam.

Antara ketibaan ialah Tae Hyeong Lee, yang kembali ke pulau itu untuk kali ketiga dan berminat untuk pergi ke pantai.

“Seronok berada di sini. Ini kali pertama saya keluar dari Korea Selatan sejak wabak itu bermula,” beritahunya kepada AFP.

Tetapi yang lain mungkin lebih berminat kepada aksi dan hiburan ketika mereka menerokai antara kompleks hotel 12,000 bilik, taman hiburan, padang golf 18 lubang, taman safari dan Venice mini.

Pelancong Korea Selatan yang tiba menerima kalungan bunga di lapangan terbang antarabangsa Phu Quoc. – AFP
Seorang pelancong Korea Selatan melepasi pemeriksaan imigresen sejurus tiba di lapangan terbang antarabangsa Phu Quoc. – AFP

Pusat peranginan riadah bernilai AS$2.8 bilion itu, sebahagian daripada model ‘bandar tidak tidur’, dibuka enam bulan lalu apabila COVID-19 memusnahkan pelancongan di seluruh dunia – dan ketika negara Asia lain yang bergantung pada industri tersebut, seperti Thailand, sedang memikirkan semula rangka kerja pelancongan besar-besaran mereka.

Bagi Phuc yang berusia 33 tahun, yang mengingati zaman kanak-kanak yang dibelenggu kemiskinan di mana ‘semua orang mahu melarikan diri dari Phu Quoc’, populariti pulau itu yang semakin meningkat memberinya jalan untuk pulang ke kampung asal selepas bertahun-tahun mencari rezeki sebagai jurujual di bandar-bandar berdekatan Delta Mekong.

“Tetapi sayang juga,” beritahunya kepada AFP, meratapi kehilangan pantai yang dikelilingi pokok palma di pulau itu kepada pusat peranginan.

Menjelang pembukaan semula pada Sabtu lalu, kakitangan di pusat peranginan Vinpearl – tempat penginapan ketibaan – membersihkan pantai, men-yusun peralatan sudu dan garpu di atas meja dan meletakkan kerusi untuk berjemur.

Manakala yang lain sibuk melukis bunga halus pada topi berbentuk kon.

“Apabila kami mendengar pelancong kembali, saya sangat teruja,” kata pengurus, NgoThi BichThuong.

Sebelum wabak pada 2019, sekitar lima juta orang, termasuk setengah juta warga asing – kebanyakannya dari China, Korea Selatan, Jepun dan Rusia – bercuti di Phu Quoc.

Vingroup – konglomerat yang sangat berkuasa di sebalik kompleks baharu itu – sedang berusaha untuk menjadikan pulau itu ‘destinasi antarabangsa baharu pada peta pelancongan dunia’.

Untuk menampung lonjakan bilangan pelancong, 40,000 bilik hotel telah dibina, dirancang atau sedang dalam pembinaan, beritahu naib pengerusi Lembaga Penasihat Pelancongan Vietnam, Ken Atkinson kepada AFP.

Tempat percutian yang popular di seluruh dunia seperti Phuket di Thailand telah memberikan Vietnam sesuatu untuk dituju.

Atkinson membawa sekumpulan pegawai kanan kerajaan Vietnam ke sana pada 2005 – tetapi sementara suasana pelancongan antarabangsa Phuket yang rancak mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina, “Vietnam mempunyai kecenderungan untuk melakukan segala-galanya sekali gus,” katanya.

“Malangnya saya tidak fikir terdapat perhatian yang cukup diberikan kepada apa yang akan menjadi manfaat jangka panjang pulau itu,” tambahnya.

Phu Quoc ialah rizab biosfera UNESCO – perairan sekitarnya dipenuhi terumbu karang dan pantainya pernah menjadi tempat bersarang penyu sisik dan penyu hijau.

Tetapi tiada pendaratan penyu untuk bertelur dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kata badan PBB dalam penilaian terakhir mereka pada 2018.

Tabung Alam Sedunia (WWF) telah memberi amaran tentang ‘banjir plastik yang hampir tidak dapat dibayangkan’ yang mencemar sungai, terusan dan hidupan laut.

Sekitar 160 tan sampah – hampir cukup untuk mengisi 16 trak – dibuang setiap hari, menurut WWF, yang mengatakan pengurusan sisa pulau itu tidak sesuai untuk menghadapi lonjakan peningkatan dalam pelancongan.

“Semakin ramai pelancong sangat prihatin terhadap alam sekitar. Mereka tidak mahu pergi ke tempat di mana pantai bersepah atau di mana kumbahan mengalir ke laut,” menurut amaran Atkinson.

Tetapi di samping sampah dan tarikan utama yang menyinar – termasuk kereta kabel tiga tali tanpa henti terpanjang di dunia dan muzium patung beruang pertama di Vietnam – masih merupakan tempat pelancongan yang indah.

Chu Dinh Duc, 26, dari tanah besar Vietnam, pertama kali melihat Phu Quoc dari belakang motosikal pada 2017.

Meneroka melalui hutan tebal dan berliku ke beberapa per-kampungan yang masih belum maju di mana nelayan melabuhkan jala mereka ke lautan ketika matahari terbit, dia jatuh cinta dengan tempat itu.

Dua tahun kemudian, dia membuka perniagaan inap desa ringkas untuk warga asing.

“Matlamat saya di sini bukan untuk mengaut banyak wang mereka,” katanya. “Tetapi saya mahu seramai mungkin untuk datang ke sini.” – AFP