Pulau Pinang optimis jadi hab seni Asia Tenggara

GEORGE TOWN, 11 Jan – Pulau Pinang optimis untuk menjadi sebuah hab seni di Asia Tenggara untuk 10 tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Ke-budayaan dan Kesenian negeri, Yeoh Soon Hin berkata kerajaan negeri sentiasa memainkan peranan dalam memartabatkan seni yang dilihat mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan seterusnya negara.

“Selaras dengan Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang yang merupakan intipati penting kerajaan negeri dalam mempromosikan seni dan kebudayaan negeri ini adalah antaranya melalui pameran dan juga pertandingan kesenian,” katanya pada sidang media mengenai Pameran Seni The Art Showdown di sini, hari ini.

Katanya, walaupun memakan masa untuk menuju ke arah aspirasi tersebut, beliau menyatakan bahawa negara-negara Eropah turut bertatih terlebih dahulu sebelum dapat menjadi antara hab kesenian terulung di persada dunia.

“Sebagai contoh, seperti negara Eropah mempunyai banyak galeri kesenian di mana pelancong datang untuk melihat karya-karya agung artis tempatan seterusnya dilihat mampu melonjakkan pasaran kesenian dengan lebih global.

“Inilah yang kita mahu untuk Pulau Pinang capai, di mana kita hendak jadikan negeri ini sebagai hab kesenian Asia Tenggara untuk 10 tahun akan datang,” katanya. Menurut Yeoh lagi, kerajaan negeri turut berusaha untuk mewujudkan sebuah platform melalui kerjasama pihak berkuasa yang bertujuan mempromosikan bakat seni karyawan tempatan dengan lebih meluas.

“Di Pulau Pinang sememangnya banyak karyawan seni yang ada, jadi kerajaan negeri kini dalam usaha untuk mewujudkan sebuah platform yang boleh mengetengahkan bakat karyawan tempatan untuk memasarkan hasil seni mereka ke pasaran terbuka seterusnya mempromosikan keindahan Pulau Pinang di mata dunia,” katanya.

Sementara itu, penganjur pameran The Art Showdown, Rebecca Yeoh berkata, pihaknya mengalu-alukan karyawan tempatan untuk menghantar hasil seni menerusi seni lukisan tangan sebelum 1 Feb ini.

“Setakat ini kita telah menerima 20 penyertaan dan kita menyasarkan sebanyak 100 penyertaan di mana hasil karya itu akan dipamerkan dalam pameran tersebut bertempat di ChinaHouse, Jalan Victoria pada 1 sehingga 15 Februari ini,” katanya. – Bernama

Yeoh Soon Hin (kanan) bersama wakil media semasa menaiki belon udara panas yang dikendalikan oleh juruterbang Jonas Van Doorsselaere anjuran MyBallon Adventure kelmarin sempena mempromosi Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang. – Bernama