Pulau Talang-Talang dibekalkan dengan tenaga solar

SEMATAN, 13 Sept – Pulau Talang-Talang Kechil dan Pulau Talang-talang Besar di Taman Negara Talang Salang kini  telah dibekalkan dengan tenaga boleh diperbaharui iaitu Tenaga Solar untuk menjana tenaga elektrik bagi kegunaan operasi harian di sini.

Projek Solar atau lebih dikenali sebagai tenaga boleh diperbaharui itu adalah hasil kerjasama antara  Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam  usaha sama untuk program pemuliharaan dan perlindungan penyu di Taman Negara ini. Penyerahan projek solar antara SEB dan SFC  disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Menteri Utiliti Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom,dan  Anggota Parlimen Tanjung Datu, Datuk Amar Jamilah Anu.

Abang Johari  berkata, dengan adanya bekalan tenaga solar ia dapat membantu meningkatkan lagi usaha pemulihan alam sekitar khususnya dalam pembiakan penyu di Pulau Talang-Talang.

“Bekalan tenaga solar amat membantu dalam aktiviti pembiakan penyu kerana kita sedia maklum bahawa penyu memerlukan persekitaran yang senyap dan tenang tanpa sebarang gangguan serta bunyi daripada sekelilingnya semasa proses mendarat ke darat untuk bertelur. – Bernama