Puluhan bantah sekatan ditangkap

MELBOURNE, 13 SEPT – Pihak berkuasa di Melbourne hari ini telah menahan lebih 70 orang kerana melanggar perintah duduk di rumah bagi memprotes perintah berkurung dengan beberapa penunjuk perasaan bertempur dengan polis rusuhan di sebuah pasar di bandar tersebut.

Kira-kira 250 orang menghadiri tunjuk perasaan haram – yang kedua dalam beberapa hari di bandar – dipromosikan oleh kumpulan konspirasi COVID-19 di media sosial.

Penunjuk perasaan tidak mengendahkan amaran rasmi dan perintah kesihatan awam dengan berkumpul di pasar Queen Victoria, meminta dihentikan perintah berkurung selama beberapa minggu di bandar kedua terbesar di Australia itu.

Mereka disambut oleh kehadiran polis yang ramai, dengan pergaduhan meletus ketika pasukan anti-rusuhan menyerbu lorong-lorong di pasar buah-buahan dan sayur-sayuran.

Polis menahan 74 orang dan mendenda 176 orang, di mana dalam satu kenyataan berkata, ‘ramai penunjuk perasaan yang agresif dan mengancam keganasan terhadap pegawai’.

Polis menumpaskan seorang pembantah di Pasar Queen Victoria, Melbourne semasa perhimpunan pada 13 September. – AFP

Seorang lelaki dipercayai ‘penghasut utama’ telah menghadapi tuduhan menghasut, manakala seorang lagi dituduh menyerang polis, menurut kenyataan itu.

Hujung minggu lalu, acara ‘Hari Kebebasan’ telah diadakan di seluruh Australia bagi memprotes apa yang dilabelkan oleh pemerintah sebagai maklum balas ‘berlebihan’ terhadap pandemik wabak itu, yang telah membunuh lebih 900,000 orang di seluruh dunia.

Tunjuk perasaan terbaharu itu berlaku menjelang pelonggaran sekatan berhubung virus itu secara beransur-ansur di Melbourne, dengan kebenaran senaman luaran setiap hari meningkat menjadi dua jam dan ‘gelembung sosial’ kecil dibenarkan bagi orang yang tinggal sendirian mulai esok.

Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews, yang sebelumnya melabelkan penunjuk perasaan sebagai ‘mementingkan diri sendiri’ hari ini berkata, negeri itu tidak mampu untuk membuka semula sekatan terlalu cepat.

“Tiada yang suka realiti yang kita hadapi, tetapi tiada antara kita yang mempunyai pilihan untuk mengabaikan realiti yang kita hadapi,” katanya.

“Kita tidak dapat membuka sekatan sekarang dan kekal terbuka. Ia tidak selamat dan tidak pintar.”

Perintah berkurung waktu malam, larangan pelawat ke rumah dan had perjalanan tidak lebih dari lima kilometer dikekalkan di seluruh Melbourne hingga 26 Oktober. – AFP