Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Puluhan cedera pertempuran di majlis pengebumian

    BAITULMAQDIS, 17 MEI – Lebih 70 warga Palestin cedera dalam pertempuran semalaman dengan polis Israel di majlis pengebumian di Baitulmaqdis, dalam insiden disifatkan polis sebagai ‘rusuhan ganas’ yang turut mengancam nyawa anggotanya.

    Rusuhan itu berlaku ketika penduduk Palestin sedang mengebumikan Walid al-Sharif, 23, yang meninggal dunia Sabtu lalu akibat kecederaan ketika pertempuran di premis masjid Al-Aqsa, bulan lalu.

    Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, kecederaan itu berlaku ‘ketika pertempuran dengan tentera penceroboh’, dengan polis Israel melepaskan tembakan peluru getah dan grenad pegun di sekitar Bandar Lama Baitulmaqdis yang dirampas.

    Jenazah Walid dibawa oleh orang ramai ke premis Al-Aqsa dan menerusi Pintu Harod di Bandar Lama, sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran.

    Menurut polis, keganasan berlaku semasa dan selepas pengebumian, termasuk di kawasan kubur. Enam anggota polis dilaporkan cedera.

    “Pasukan keselamatan Israel bertindak tegas terhadap ratusan individu yang melanggar undang-undang dan perusuh yang bertindak ganas dan membahayakan nyawa anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan.

    Dakwanya, penduduk Palestin melontarkan batu, botol, bata serta objek berat lain, selain melancarkan bunga api ke arah polis.

    Kumpulan advokasi Kelab Tawanan Palestin berkata, lebih 50 individu ditahan, manakala polis Israel pula memaklumkan hanya 15 individu ditahan. – AFP

    Penduduk Palestin mengusung jenazah Walid al-Sharif, yang meninggal dunia akibat kecederaan semasa pertempuran dengan polis Israel di perkarangan masjid Al-Aqsa pada 16 Mei 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...