Puluhan harimau mati selepas dirampas

BANGKOK, 16 SEPT – Lebih separuh daripada 147 ekor harimau yang dirampas dari sebuah kuil kontroversi Thailand telah mati, kata para pegawai taman hari ini, menyalahkan masalah genetik yang berkaitan dengan pembiakbakaan dalam yang pernah menjadi tarikan pelancong.

Selama bertahun-tahun, kuil Wat Pha Luang Ta Bua di barat wilayah Kanchanaburi menarik sekumpulan pelancong yang ingin bergambar – dengan bayaran – dekat dengan puluhan harimau.

Namun pada 2016 para pegawai taman mula melaksanakan operasi untuk memindahkan kucing besar itu di tengah-tengah pertuduhan salah pengurusan dan mendakwa makhluk itu telah dieksploitasi.

Puluhan anak harimau ditemui disimpan dalam peti sejuk, mencetuskan dakwaan bangkainya telah dijual oleh kuil yang sudah pun mengaut ratusan ribu dolar setiap tahun daripada para pengunjung. Harimau dewasa yang selamat telah dibawa ke dua buah stesen pembiakan dekat wilayah Ratchaburi namun hanya 61 daripada 147 telah selamat sejauh ini, kata pegawai taman kepada wartawan.

“Ia mungkin berkaitan dengan pembiakbakaan dalam,” kata Pattarapol Maneeon, Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tanaman.

“Haiwan itu mempunyai masalah genetik yang memberi risiko kepada sistem imun dan badan.”

Kebanyakannya mengalami kelumpuhan lidah, masalah pernafasan dan kurang selera makan yang membawa kepada maut. – AFP

Gambar fail yang diambil pada 24 April 2015 menunjukkan pegawai hidupan liar mengimbas mikrocip pada badan seekor harimau di kuil harimau Wat Pha Luang Ta Bua di Kanchanaburi. – AFP