Puluhan ikan paus terkandas di teluk NZ

WELLINGTON, 22 FEB – Para penyelamat berlumba-lumba hari ini untuk menyelamatkan puluhan ikan paus pandu yang terdampar di pantai New Zealand, kata para pegawai hidupan liar.

Jabatan Pemuliharaan (DOC) berkata, sekumpulan 49 paus berkenaan ditemui awal pagi ini di Farewell Spit, kira-kira 90 kilometer utara bandar pelancongan Pulau Selatan, Nelson.

Menjelang petang, sembilan ikan paus telah mati dan lebih 60 orang berjuang mengekalkan yang terselamat dengan mengapungkannya semasa ombak tinggi, kata DOC.

“Ahli perubatan mamalia laut akan membantu haiwan itu di pantai, dengan memastikan ia sentiasa basah dan sejuk sehingga mampu berenang semula,” kata jurucakap DOC. – AFP