Puluhan lagi penumpang Westerdam dibebaskan

SIHANOUKVILLE, KEMBOJA, 19 FEB – Berpuluh-puluh lagi penumpang yang terperangkap selama hampir seminggu di sebuah kapal persiaran Amerika Syarikat (AS) di Kemboja hari ini telah dibenarkan keluar selepas kesemuanya diuji bebas daripada jangkitan koronavirus (COVID-19) yang kini telah membunuh ribuan jiwa.

Westerdam berlabuh di Sihanoukville pada 13 Februari lalu selepas ditolak oleh lima negara berikutan kebimbangan para penumpangnya berkemungkinan akan membawa jangkitan COVID-19.

Terdahulu, beratus-ratus penumpang dibenarkan keluar selepas menjalani pemeriksaan kesihatan asas – di antaranya seorang wanita Amerika berusia 83 tahun yang kemudiannya didiagnosis dengan virus semasa dalam perjalanan ke Malaysia.

Penemuan wabak tersebut terhadap penumpang itu telah menimbulkan kebimbangan bahawa penumpang Westerdam yang lain berkemungkinan akan menyebarkan virus ketika mereka meninggalkan kapal berkenaan, walaupun tiada kes lain yang telah direkodkan.

Apabila kes wanita Amerika ditemui, penumpang yang berada di Westerdam diarahkan untuk kekal berada di atas kapal, tetapi mereka kini telah disahkan selamat daripada jangkitan tersebut.

Perdana Menteri Kemboja Hun Sen mengalu-alukan penumpang dari kapal milik AS itu, menyapa mereka dengan memeluk dan memberikan kalungan bunga.

“Terima kasih banyak Perdana Menteri,” kata salah seorang daripada 230 penumpang yang dikuarantin dalam kapal itu hari ini – memberitahu TV tempatan ketika meninggalkan kapal itu. “Saya tidak kenal dia sebelum ini, jadi saya rasa bersyukur kerana dia membenarkan kami masuk ke wilayah ini.” – AFP

Pemandangan dari pantai menunjukkan kapal persiaran Westerdam  yang tersadai di luar pesisir Sihanoukville, kelmarin. – AFP