Puluhan maut, Selatan China dilanda banjir

BEIJING, 11 JUN – Banjir dan tanah runtuh melanda selatan China menjejaskan ratusan ribu penduduk dan puluhan lagi terkorban atau hilang, lapor media negara itu hari ini.

Cuaca buruk turut menyebabkan kemusnahan di kawasan pelancongan popular yang sebelum ini berdepan sekatan perjalanan selama berbulan-bulan akibat wabak koronavirus.

Hujan mencurah-curah membawa banjir dan tanah runtuh telah mengakibatkan hampir 230,000 penduduk dipindahkan dan lebih 1,300 rumah musnah, lapor agensi berita Xinhua yang memetik Kementerian Pengurusan Kecemasan China.

Di Wilayah Autonomi selatan Guangxi Zhuang, enam orang dilaporkan terkorban manakala, seorang hilang, menurut Xinhua.

Jalan ditenggelami air di destinasi popular pelancong Yangshuo, memaksa penduduk dan pelawat berpindah menggunakan rakit buluh.

Kerajaan negeri berkata, lebih 1,000 hotel telah dibanjiri dan 30 tempat pelancongan musnah.

Gambar yang diambil pada 7 Jun menunjukkan jalan-jalan dan bangunan dibanjiri selepas hujan lebat menyebabkan banjir di Yangshuo, rantau Guangxi, selatan China. – AFP

Seorang daripada pemilik hotel warisan keluarga memberitahu Xinhua, bilik tetamu di hotelnya ditenggelami air sedalam satu meter.

Cuaca ekstrem telah menjejaskan lagi sektor pelancongan di rantau itu yang masih lagi sedang pulih daripada pandemik COVID-19.

Sementara kementerian bertanggungjawab meramalkan kerugian langsung akibat bencana itu melebihi 4 bilion yuan (lebih AS$550 juta), lapor Xinhua.

Di wilayah Hunan, kira-kira 13 orang terkorban dalam bencana akibat hujan, dan lapan orang lagi hilang atau maut di wilayah Guizhou, menurut Jabatan Tindakan Kecemasan tempatan, menurut Xinhua.

Hujan lebat bermula awal Jun lalu dan telah membawa kepada paras air tinggi di 110 batang sungai, di samping ribut dijangka berlanjutan beberapa hari lagi di selatan. – AFP