SAN PEDRO SULA, Honduras, 7 Jan – Berpuluh-puluh ribu orang berarak semalam membantah pemilihan semula Presiden Juan Orlando Hernandez, menuntut pencabarnya diiktiraf sebagai pemenang sebenar kempen presiden pada November.
Penyokong Gabungan Pembangkang Menentang Pemerintahan Diktator berarak di jalan raya San Pedro Sula, bandar kedua terbesar negara, meminta Salvador Nasralla, 64, dinamakan sebagai pemenang dan mengangkat sumpah pada bulan ini.
“Orang tidak akan menerima keputusan di mana diktator boleh meneruskan jawatan mereka,” kata Nasralla, seorang bekas pengacara TV, tentang calon konservatif Hernandez di luar katedral era jajahan di bandar.
“Kami tidak akan berhenti sehingga kami menyingkirkan orang korup,” tekan Nasralla.
Orang yang berarak berjalan kira-kira dua kilometer sambil mengibar bendera yang mempunyai slogan termasuk ‘Penipuan Pilihan Raya Tidak Akan Berlaku,’ ‘Tiada lagi pembunuhan politik’ dan ‘Kebebasan untuk Tahanan Politik,’ menuntut Hernandez, 49, meletak jawatan.
Ramai di antara mereka menyanyi dan melaung “JOH (Hernandez), KELUAR.”
Orang yang berarak juga menggesa mogok negara diadakan, termasuk satu pemulauan ke atas pelantikan Hernandez dan sekatan jalan di seluruh negara Amerika Tengah.
“Kami akan mengadakan mogok negara,” kata pemimpin pembangkang Manuel Zelaya, pemimpin berhaluan kiri yang menyingkirkan dirinya daripada jawatan presiden pada tahun 2009. – AFP