LONDON, 13 MAC – Berpuluh-puluh ribu doktor muda melancarkan mogok selama tiga hari di seluruh United Kingdom (UK) hari ini untuk menuntut gaji yang lebih baik.
Tindakan itu bakal menjejaskan perkhidmatan di hospital dan klinik kesihatan yang dibiayai kerajaan UK.
Doktor muda yang berkelayakan telah membentuk 45 peratus jumlah keseluruhan doktor yang berkhidmat dalam Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS).
Tindakan mogok tersebut bermakna operasi dan temu janji akan dibatalkan untuk beribu-ribu pesakit, mengakibatkan doktor kanan dan pekerja perubatan yang lain perlu menggantikan mereka untuk meneruskan perkhidmatan kecemasan, penjagaan kritikal dan perkhidmatan bersalin.
Persatuan Perubatan British, kesatuan sekerja doktor, berkata gaji untuk doktor muda telah jatuh 26 peratus sejak 2008, manakala beban kerja dan senarai menunggu pesakit berada pada rekod tertinggi.
Kesatuan itu berkata keletihan dan krisis kos sara hidup di UK mendorong ramai doktor menjauhi perkhidmatan kesihatan awam.
Kesatuan itu berkata pekerja perubatan berkelayakan yang baru hanya memperoleh £14.09 sejam.
Pekerja kesihatan lain, termasuk jururawat dan paramedik, juga telah melancarkan mogok dalam beberapa bulan kebelakangan ini untuk menuntut gaji dan syarat pekerjaan yang lebih baik yang mengakibatkan lebih daripada 100,000 temu janji telah ditangguhkan pada musim sejuk itu akibat mogok tersebut.
Stephen Powis, pengarah perubatan NHS England, berkata mogok 72 jam minggu ini dijangka memberi kesan paling serius dan akan menyebabkan gangguan dengan beberapa penjagaan kanser mungkin akan terjejas, di samping temu janji rutin dan beberapa pembedahan. – AP
