LAHORE, 20 NOV – Puluhan ribu penyokong dari parti politik agama utama Pakistan berhimpun di bandar timur Lahore pada kelmarin menentang pengeboman Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza dan apa yang dikatakan sebagai kegagalan dunia untuk melindungi penduduk Gaza.
Di tengah-tengah slogan anti-Israel dan anti-Amerika, orang ramai yang penuh emosi juga menyeru jihad, atau perang suci.
Awal bulan ini, Jamaat-e-Islami (JI) mengadakan perhimpunan besar-besaran di bandar pelabuhan Karachi dan ibu negara, Islamabad.
Penyokong termasuk wanita dan kanak-kanak berarak sejauh beberapa kilometer untuk sampai ke lokasi perhimpunan sambil memegang sepanduk dan poster dengan slogan menentang Israel dan Amerika Syarikat serta menyokong rakyat Palestin.
Ketua JI, Senator Sirajul Haq, berkata perhimpunan yang berterusan untuk menyokong rakyat Palestin di seluruh dunia menyedarkan kerajaan dunia dan memberi suara kepada mereka yang tidak bersalah.
Beliau berkata resolusi dan kata-kata yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak akan berkesan, dan pemerintah Islam perlu bangkit dan menghentikan tangan penceroboh. – AP
