Pumis volkano dasar laut bawa kerosakan di Jepun

TOKYO, 29 OKT – Sejumlah besar batu pumis diletuskan oleh volkano dasar laut di Lautan Pasifik, menimbuni pesisir pantai selatan Jepun, merosakkan pelabuhan dan bot-bot nelayan, memaksa kerajaan pusat menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menangani isu itu sebagai salah satu bencana alam, kata pegawai.

Batu pumis berwarna kelabu itu dimuntahkan dan terapung dari volkano dasar laut di gugusan kepulauan Ogasawara, yang meletus pada pertengahan Ogos lalu. Pulau itu terletak kira-kira 1,000km ke selatan Tokyo.

Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihiko Isozaki memberitahu wartawan hari ini bahawa batu pumis itu merosakkan sebanyak 11 pelabuhan di Okinawa dan 19 yang lain di wilayah Kagoshima di pulau paling selatan, Kyushu setakat ini.

Kira-kira 40 lagi bot nelayan juga rosak, termasuk enam yang tidak dapat bergerak dan perkhidmatan feri menghubungkan pulau-pulau terpencil di Okinawa dan Kagoshima digantung buat sementara waktu.

Dia turut memberi amaran bahawa batu-batu itu kini bergerak lebih jauh ke utara dan boleh menjejaskan seluruh pesisir pantai Jepun. – AP

Gambar dari udara menunjukkan batu pumis yang hanyut ke pantai pulau kecil Lejima di Pulau Okinawa, 29 Okt. Sejumlah besar batu-batu pumis itu kini merosakkan pesisir pantai selatan Jepun, sehingga memaksa kerajaan menubuhkan sebuah pasukan khas menangani bencana itu. – AP