Punca 13 lagi kes masih dikesan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Negara Brunei Darussalam hari ini mengesahkan 54 kes baharu jangkitan COVID-19 yang kesemuanya kes tempatan dengan 13 daripadanya masih belum diketahui sumbernya dan masih dikesan.

Dengan rekod 54 kes baharu itu, membawa jumlah keseluruhan kes di negara ini kepada 494 orang, menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada sidang media situasi COVID-19 di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

“Terdapat tambahan kes-kes baharu kepada kluster-kluster aktif yang sedia ada iaitu 25 kes bagi Kluster Chung Hua KB; lapan kes bagi Kluster Semporna Enak dan tiga kes bagi Kluster Al-Falah.

“Kluster ini juga telah dikaitkan dengan beberapa kes dari Sekolah Freda Radin dan kluster ini sekarang dikenali sebagai Kluster Al-Falah – Freda Radin; dan satu kes bagi Kluster TOTAL,” kongsinya.

Menurutnya lagi, terdapat empat kes baharu hari ini yang telah dikaitkan dengan Kes 423 yang dilaporkan kelmarin.

Kluster Imigresen membabitkan dua buah jabatan imigresen di Bandar Seri Begawan dan Kuala Belait. – Gambar oleh Muiz Matdani

“Kes ini kini dikenali sebagai Kluster Imigresen. Terdapat kemungkinan kluster ini berpunca dari satu kes positif yang datang mendapatkan perkhidmatan di kaunter Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Bandar Seri Begawan dan kaunter Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, cawangan Kuala Belait pada 31 Julai 2021,” kata Yang Berhormat Dato.

Oleh itu, beliau menasihatkan sesiapa yang telah pergi ke kaunter-kaunter terbabit dan mempunyai tanda-tanda jangkitan, segera mendapatkan rawatan dan melakukan ujian SARS-CoV-2. Menurut beliau lagi, kes-kes dalam kluster-kluster aktif tersebut adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.

“Pengesanan kontak bagi semua kes-kes baharu ini masih giat dijalankan. Semua kontak terdekat akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2.

“Lima kes telah disahkan sembuh, membawa kepada jumlah kes yang sembuh sebanyak 319 kes dan 172 kes aktif,” katanya.