Tuesday, April 29, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Punca nahas kereta api tergelincir disiasat

    YILAN, Taiwan, 22 Okt – Presiden Taiwan hari ini mendesak bagi siasatan segera selepas sebuah kereta api ekspres tergelincir dari landasan di laluan pantai pelancongan, mengorbankan 18 orang di mana para penumpang yang sedang tidur terhumban keluar dari tempat duduk mereka.

    Kemalangan di laluan timur pantai popular itu telah mencederakan 187 orang semalam dan mengakibatkan Puyuma Express tersadai dalam keadaan bengkang-bengkok di landasan kereta api dalam kemalangan landasan paling teruk di pulau itu dalam tempoh suku dekad.

    Antara mereka yang terkorban, yang paling muda berusia sembilan tahun. Dua orang pelajar berusia 12 dan 13 dari sebuah sekolah di Taitung iaitu destinasi kereta api berkenaan juga terbunuh, menurut kementerian pengangkutan.

    “Semua orang bimbang dengan punca kemalangan itu dan saya telah meminta pihak pendakwa menjelaskan situasi itu dan puncanya, kelak,” Presiden Tsai Ing-wen memberitahu para pemberita apabila beliau melawat tempat kejadian kemalangan hari ini.

    Keadaan kereta api yang tergelincir di Yilan sambil para petugas meninjau kereta api tersebut. – AP

    Pasukan khas dan unit forensik akan memastikan sama ada kejadian tergelincir itu ‘adalah kemalangan atau kesalahan manusia’ menurut pendakwa Chiang Jenyu ketika para penyiasat mencari bukti di tempat kejadian.

    Para penumpang yang terselamat dalam kemalangan itu menceritakan bagaimana kereta api itu bergoncang yang amat kuat ketika dalam perjalanan dan bergerak dengan ‘amat laju’ sebelum ia tergelincir.

    “Kereta api berhenti dua kali dan kami dimaklumkan bahawa terdapat masalah yang perlu dibaiki tetapi kereta api bergerak semula tidak lama selepas itu,” seorang penumpang yang mengenalkan dirinya sebagai Chiu memberitahu para wartawan.

    “Kami merasakan kelajuan amat pantas, kemudian kedengaran bunyi rempuhan dan kami terpelanting dari tempat duduk,” ujarnya lagi, dengan menambah, ramai penumpang sedang tidur pada waktu itu.

    Seorang pegawai dari Pentadbiran Landasan Kereta api Taiwan berkata pemandu kereta api telah melaporkan tentang alat tekanan yang digunakan untuk membrek tidak berfungsi selama 30 minit sebelum kemalangan, tetapi ia bukan punca kereta api bergerak terlalu laju.

    Para pegawai hari ini berkata usaha mencari mangsa telah berakhir di tempat kejadian kemalangan di wilayah timur laut Yilan dan tidak ada lagi penumpang ditemukan dalam gerabak.

    Penduduk setempat Huang Chang-han, 61 tahun memberitahu AFP, dia berada di kuil tepi bukit berhampiran dengan sekumpulan orang yang bergegas untuk membantu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda