Saturday, April 20, 2024
25 C
Brunei

    -

    Pupuk amalan kitar semula

    Oleh Nurdiyanah R.

    Peningkatan jumlah sisa pepejal di Negara Brunei Darussalam, berdasarkan statistik yang diperoleh mendapati pengeluaran sisa pepejal merekodkan 1.4 kilogram per kapita sehari pada tahun 2017 manakala sebanyak 1.14 kilogram per kapita pada 2020.

    Meski pun jumlah tersebut dilihat menurun dalam jangka tempoh tiga tahun berkenan tetapi ia masih menjadi isu kerana negara kita masih mencatatkan pengeluaran sisa pepejal per kapita yang tertinggi antara negara-negara ASEAN. Selain itu, situasi tapak pelupusan di negara ini pada masa ini juga hampir pada tahap maksima.

    Dalam pada itu, negara kita juga masih menghadapi isu pembuangan sampah merata-rata yang dilakukan golongan masyarakat yang tidak bertanggungjawab yang mana salah satu punca meningkatnya sisa pepejal. Ini terbukti semasa pelaksanaan kempen kebersihan yang dijalankan oleh Green Brunei di sekitar Pantai Serasa pada awal tahun ini telah mengumpulkan lebih 300 kilogram sampah dalam masa sejam. Begitu juga sekitar Kampong Ayer yang masih menjadi isu persekitaran didapati sampah dibuang merata-rata.

    Perkara berkenaan antara yang ditekankan oleh salah seorang ahli Green Brunei, Dayang Siti Rabiatul Asyikin binti Mohd Said ketika menyampaikan taklimat mengenai kesedaran kitar semula semasa berlangsungnya Program ‘Lajutah Kitar Semula’ bersempena Hari Kitar Semula Antarabangsa secara maya, baru-baru ini.

    Program anjuran Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kampung Pandan dengan kerjasama Green Brunei sememangnya bermatlamat bagi mendidik orang ramai mengenai cara-cara mengatasi kenaikan peratus sisa pepejal di negara ini disebabkan pada kebelakangan ini peratus pembuangan sisa pepejal semakin meningkat dari tahun ke tahun dan ianya juga sudah menjadi isu dan kebimbangan besar di seluruh dunia dan tidak terkecuali tanah air kita.

    Ke arah usaha untuk memupuk kesedaran akan kepentingan kitar semula dalam kehidupan seharian, Perpustakaan DBP Kampung Pandan dengan kerjasama Green Brunei telah mengungkayahkan Program ‘Lajutah Kitar Semula’ bersempena Hari Kitar Semula Antarabangsa secara maya, baru-baru ini.
    Antara salah satu langkah dan strategi untuk menerapkan konsep 3R sama ada di premis-premis kerajaan dan swasta mahu pun rumah-rumah persediaan ialah dengan menyediakan tong kitar semula.
    Mengubah suai botol plastik atau kaca kosong untuk dijadikan pasu bunga yang menarik.

    Jika membuang sampah merata

    Sehubungan itu, Dayang Siti Rabiatul turut menekankan bahawa mengikuti undang-undang dan hukuman sabit kesalahan membuang sampah merata-rata di negara ini menetapkan tindakan meletak, melonggok atau mencampakkan sebarang debu, habuk, kertas, abu, bangkai, sampah, kotak, tong, karung atau barang lain di sebarang tempat awam boleh dikenakan denda kompaun tertentu.

    Jika didapati sabit melakukan akta kesalahan-kesalahan kecil dalam Penggal 30 boleh dikenakan kompaun tidak melebihi $500 dan sekiranya mereka gagal untuk membayar denda berkenaan boleh dihadapkan ke mahkamah. Jika individu berkenaan sabit kesalahan maka boleh didenda sebanyak $1000 bagi kesalahan pertama dan $3000 pula bagi kesalahan kedua dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

    Pengumpulan sisa pepejal

    Setakat ini, pengumpulan sisa pepejal telah dilaksanakan di negara ini antara melalui cara-cara tertentu iaitu pengambilan dari rumah ke rumah yang dilakukan oleh organisasi berdaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe).

    Jelas Dayang Siti Rabiatul, hanya sisa bahan bahaya mempunyai pembahagian dan pembuangan yang teratur manakala sisa pepejal yang lain akan dibuang di tapak pelupusan sampah atau dibuang ke saluran air khususnya bagi sisa bahan buangan cecair.

    Dalam pada itu, orang ramai juga mempunyai pilihan untuk menggunakan pusat pengumpulan sisa pepejal yang disediakan oleh kerajaan di seluruh negara sebagai salah satu alternatif pengurusan kutipan sisa pepejal.

    Kongsinya lanjut, jenis sisa pepejal isi rumah ialah plastik, kertas, sampah elektronik, sampah sisa makanan dan sisa penjagaan kesihatan. Perlu diketahui juga, sisa penjagaan kesihatan seperti pelitup muka dan kit Ujian Pantas Antigen (ART) kian menjadi sisa pepejal dalam keperluan harian dalam kita menghadapi krisis kesihatan. Berdasarkan sumber dari US National Library of Medicine, pada tahun 2020 Negara Brunei Darussalam telah merekodkan lebih 200, 000 helai pelitup muka digunakan setiap hari atau dengan kadar 0.56 peratus sisa perubatan dalam sehari.

    Perlaksanaan inisiatif 3R

    Persoalannya di sini, bagaimana cara untuk mengurangkan sisa pepejal dengan sebaik-baiknya? Secara efektifnya, masyarakat secara menyeluruh digalakkan untuk mengetahui dan melaksanakan inisiatif 3R.

    Dayang Siti Rabiatul menjelaskan inisiatif 3R dari segi pengurusan sisa bermaksud pengurangan (reduce), guna semula (reuse) dan kitar semula (recycle). Adapun tujuan untuk mempromosikan inisiatif 3R di peringkat global sememangnya bagi membina masyarakat dunia yang kukuh terhadap pengurusan sisa sampah yang berkesan.

    Pengurangan dalam inisiatif 3R ini merujuk kepada langkah-langkah usaha sehari-hari dalam mengelakkan pembaziran dengan mengurangkan penggunaan bekalan dan barangan yang berlebihan dalam kehidupan seharian. Dengan kata lain, dengan mengutamakan dan mengenal pasti keperluan sebenar anda dengan mengelakkan diri daripada bersikap membazir kerana ianya boleh mendatangkan lebih banyak sisa sampah.

    Selain itu, adalah sewajarnya kita membeli dan menggunakan barangan berkonsepkan sisa sifar yang mana ia boleh digunakan berkali-kali seperti penyedut besi, beg kitar semula, kotak bungkusan makanan dan sebagainya.

    Manakala maksud guna semula dalam inisaitf 3R pula ialah menggunakan semula objek atau bahan untuk kegunaan yang sama atau berbeza tanpa mengubah bentuk fizikalnya secara drastik seperti mengubah suai botol plastik kosong untuk dijadikan pasu bunga yang menarik. Dalam hal ini, ia juga merujuk kepada proses guna semula kreatif (upcycling) iaitu satu proses mengubah bahan buangan atau produk yang tidak digunakan kepada bahan terpakai baharu yang mana produk ini boleh dianggap lebih berkualiti dan menpunyai nilai artistik atau nilai mesra alam sekitar.

    Sementara, kitar semula bermaksud memproses semula barangan terbuang kepada bahan baharu untuk menghasilkan sesuatu produk yang lain. Antara barang yang sesuai untuk dikitar semula adalah tin atau aluminium, kertas, bateri kereta, besi atau logam, kayu-kayuan dan peralatan elektronik.

    Dayang Siti Rabiatul lagi, adapun perbezaan antara recycling dan upcycling ialah recycling melibatkan pengambilan bahan seperti kertas, logam, plastik atau kaca yang terpakai lalu diproses untuk mencipta produk baharu tetapi biasanya kualiti yang lebih rendah seperti kertas cetakan putih terpakai dikitar semula menjadi tisu. Manakala upcycling merujuk kepada menggunakan bahan terpakai semula dengan cara pengunaan yang berbeza setelah dinaik taraf kewujudannya menjadi lebih bergaya dan kreatif tanpa memproses bahan-bahan tersebut seperti kain bekas seluar jeans dijadikan beg kecil.

    Bersama melatih diri

    Di akhir taklimat, Dayang Siti Rabiatul turut mengungkapkan antara kebaikan inisiatif 3R itu ialah menjadi satu pelaburan yang bermanfaat bagi menjimatkan wang dalam jangka masa yang panjang, di samping ke arah usaha memelihara hidupan liar, ekosistem dan sumber semula jadi. Antara salah satu langkah dan strategi untuk menerapkan konsep 3R sama ada di premis-premis kerajaan dan swasta mahu pun rumah-rumah persediaan ialah dengan menyediakan tong kitar semula. Begitu juga sentiasa proaktif menghasilkan benda baharu secara kreatif menggunakan bahan-bahan terpakai.

    Turut hadir menyaksikan program memperkasa pengetahuan tentang kitar semula ke arah melestarikan alam sekitar berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash’ari yang telah disambut baik oleh lebih 20 orang peserta yang terdiri daripada orang ramai, ahli Green Brunei dan pegawai-pegawai Perpustakaan DBP Kampung Pandan.

    Adapun tujuan utama program tersebut diadakan adalah bagi meningkatkan lagi kesedaran mengenai kitar semula di Negara Brunei Darussalam kerana kebanyakan penduduk negara ini masih belum memahami atau mengetahui proses mengitar semula. Dengan adanya program sedemikian, ia diharap para peserta dapat menimba ilmu pengetahuan dan kefahaman dengan sebaik-baiknya tentang kitar semula, di samping mewujudkan komuniti yang kolektif dan prihatin terhadap alam sekitar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...