Pupuk belia berdisiplin, berkeyakinan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 19 FEB – Seramai 77 orang belia dari masjid-masjid di Daerah Belait telah menyertai Program Perkhemahan bagi Belia-belia Belait yang berlangsung selama dua hari satu malam di Masjid Pekan Seria, di sini.

Dianjurkan buat kali kedua oleh Jawatankuasa Takmir Masjid Pekan Seria, program berkenaan bukan sahaja bertujuan untuk menggalakkan belia menyertai aktiviti-aktiviti masjid malah membantu melatih dan memupuk belia menjadi individu berdisiplin yang berkeyakinan dalam menangani cabaran masa depan.

Program berkenaan telah diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian sijil yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Pejabat Ugama Daerah Belait, Awang Muhammad Aliyani bin Haji Ismail selaku tetamu kehormat.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Pekan Seria, Haji Aminorddin bin Haji Mohd Yussof dalam ucapan alu-aluannya berkata, antara aktiviti yang disertai pada belia berkenaan termasuk bacaan doa, menghadiri ceramah-ceramah keagamaan serta pelbagai aktiviti sukan dan fizikal.

Aktiviti-aktiviti itu, tambah beliau, bukan sahaja mengembangkan fizikal mereka malah mental mereka selaras dengan pengajaran agama Islam serta mengetengahkan kepentingan kerja berpasukan, yang akan membantu para peserta berani menghadapi cabaran-cabaran masa depan.

Beliau juga melahirkan rasa gembira dengan semangat yang ditunjukkan oleh belia-belia sepanjang program berkenaan yang beliau harapkan akan menggalakkan dan mengaspirasikan belia-belia dari daerah lain untuk menyertai program serupa pada masa depan.

Awang Muhammad Aliyani menyampaikan sijil kepada salah seorang belia pada majlis itu.
Antara belia yang menyertai program perkhemahan di Masjid Pekan Seria.