Pupuk budaya kebersihan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Bersempena sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan (MKK) 2021, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengadakan kempen kebersihan secara menyeluruh di persekitaran bangunan ibu pejabatnya di Jalan Landasan Lama, Berakas, hari ini.

Kempen berkenaan turut disertai secara serentak oleh jabatan-jabatan di bawahnya juga di persekitaran tempat kerja masing-masing, menurut kenyataan yang dikeluarkan JKR.
Kempen telah diketuai oleh Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, Haji Amir Azman bin POKPS DP Haji Abdul Rahman selaku pengerusi MKK 2021, JKR.

Kenyataan menyatakan, kempen kebersihan berkenaan merupakan antara program yang telah dirancang sepanjang MKK 2021 yang bermula pada 7 Jun lalu.

Tujuan utama kempen adalah untuk memupuk budaya kerjasama dalam kalangan warga JKR dalam memelihara persekitaran tempat kerja yang bersih, sihat dan selamat.

Kempen tersebut juga merupakan salah satu inisiatif dan sokongan padu warga JKR terhadap slogan It Takes a Nation to Make Brunei Environment Clean dan untuk mencapai Persekitaran Lestari bagi mendukung Wawasan Brunei 2035.

Antara yang turut serta dalam kempen bergotong-royong membersihkan persekitaran Ibu Pejabat JKR semasa kempen itu. – Gambar serahan JKR