Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Dalam usaha memupuk minat murid-murid mencintai subjek matematik dan untuk merangsang perkembangan otak mereka dengan nombor-nombor asas melalui pergerakan senaman, Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) telah melancarkan Bulan Subjek Matematik, kelmarin.
Perasmiannya disempurnakan oleh Ketua Bahagian Matematik, Dayang Marhani binti Omar pada majlis yang berlangsung di Dewan SR YSHHB dengan melibatkan 402 orang murid Tahun 1 dan 2.
Acara berkenaan berlangsung sepanjang Ogos ini dengan mengetengahkan pelbagai aktiviti yang antaranya sesi perkongsian ilmu bagi guru matematik berhubung kait dengan pengajaran dan pembelajaran.

Di samping itu, turut diadakan adalah pengajaran dan pembelajaran melalui ICT dan permainan yang diadakan semasa pembelajaran matematik dalam dan luar bilik darjah serta kuiz matematik bagi Tahun 5 antara kelas-kelas.
Dengan aktiviti ini, ia diharap dapat menambah ilmu pengetahuan matematik dan cara-cara meningkatkan prestasi murid-murid seterusnya menarik minat murid- murid mencintai matematik melalui pembelajaran ICT dan permainan.
Selain itu, ia juga diharap dapat meningkatkan kecerdasan murid-murid berfikir dan menjawab soalan matematik secara spontan dan menerapkan nilai keyakinan untuk menjawab soalan matematik.