Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Persidangan Belia Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) 2021 yang bermula pada 28 November lalu diteruskan hari ini dengan sesi pembelajaran rakan sebaya dan perbincangan secara berkumpulan daripada semua peserta dari negara-negara ASEAN.
Program anjuran kerajaan Jepun yang disertai seramai 35 peserta dari Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan itu diadakan secara maya di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Persidangan tersebut bermatlamat untuk memupuk jati diri belia agar dapat menyerlahkan sifat kepimpinan masing-masing dalam pelbagai bidang serta meningkatkan pengetahuan tentang hal ehwal semasa dan isu global.
Selain itu, ia juga bertujuan bagi mempromosikan lagi persahabatan dan persefahaman serta pertukaran belia antara negara Jepun dan negara-negara ASEAN secara berterusan walaupun dunia kini berdepan dengan situasi pandemik COVID-19.
Dengan tema Youth Engagement In Achieving SDGs: A Route Map For Change, persidangan tersebut dimulakan dengan sesi pembelajaran secara berkumpulan oleh perwakilan peserta dari negara ASEAN yang merangkumi sesi taklimat mengenai perspektif belia.
Wakil daripada Negara Brunei Darussalam, Awang Syahmi Zulfadhli bin Abdullah, selaku ketua peserta negara ke persidangan tersebut membentangkan tajuk ‘Kehidupan Berpengetahuan dan Terancang’.
Jelasnya, wabak pandemik COVID-19 telah mendedahkan kelemahan dalam pelbagai sudut kehidupan di seluruh dunia dan mewujudkan kesedaran untuk bersatu dalam kalangan belia untuk terus mencari penyelesaian bagi setiap isu yang dihadapi.
Salah seorang peserta, Dayang Nurul Wafaa’ binti Mohamad berkata, walaupun program SSEAYAP ini diadakan secara dalam talian, dan suasananya memang berbeza daripada yang biasa, namun semangat mereka untuk memberikan yang terbaik adalah masih sama.
Beliau juga berkata, antara aktiviti program kapal belia ini diadakan setiap hari Ahad, dengan setiap pasukan dibahagikan kepada sembilan kumpulan yang mana setiap kumpulan mempunyai tajuk mereka masing-masing.