Pupuk kesedaran belia terhadap pesakit demensia

Artikel disumbangkan oleh Nur Yanezza dan Ummi Zakiyah

Tidak mengenali usia, jantina mahupun keturunan, demensia atau secara umumnya dikenali sebagai nyanyuk merupakan sesuatu penyakit yang terjadi kepada fungsi otak atau kerosakan yang terjadi pada bahagian dalam otak sehingga menjejaskan ingatan seseorang.

Demensia juga bukan sebahagian daripada proses penuaan semula jadi bahkan ia merupakan sesuatu penyakit otak yang boleh mengakibatkan kemerosotan mental yang mengganggu aktiviti harian seseorang.

Cabaran menjaga pesakit demensia

Setiap individu yang hidup dengan demensia mengalami gejala yang berbeza, bergantung pada bahagian otak yang terjejas. Sehubungan itu, menjaga mereka yang mengalami demensia merupakan satu cabaran yang besar daripada segi emosi, mental dan fizikal bagi keluarga dan penjaga.

Kurangnya kesabaran dan pengetahuan dalam menguruskan pesakit demensia tidak hanya memberi kesan kepada penjaga dan ahli keluarga tetapi juga orang di sekelilingnya. Justeru, bagi meningkatkan kualiti hidup mereka, penjaga perlu berpengetahuan dalam menguruskan mereka agar dapat mengurangkan beban yang tertanggung.

Sebagaimana yang dialami sendiri oleh Brandon Chua, 25, seorang mahasiswa Universiti Brunei Darussalam yang berkongsi pengalaman dan pengetahuan beliau ketika menjaga neneknya yang disahkan mengalami demensia.

Ahli-ahli Demensia Brunei semasa sesi Zoom. – Gambar serahan Demensia Brunei
Demensia juga bukan sebahagian daripada proses penuaan semula jadi bahkan ia merupakan sesuatu penyakit otak yang boleh mengakibatkan kemerosotan mental yang mengganggu aktiviti harian seseorang.
Brandon Chua bersama neneknya. – Gambar serahan Demensia Brunei

Menurut perkongsian beliau, neneknya mula menunjukkan gejala menghidap demensia apabila neneknya sering menanyakan soalan yang sama secara berulang kali. Namun, Brandon dan ahli keluarganya tidak mengambil berat tentang perkara itu sehingga keadaan neneknya semakin teruk.

“Kadang-kadang terdapat juga beberapa gejala didapati terlalu agresif dan beliau kerap lupa tempat dia meletakkan barangnya. Hal ini menyebabkan orang lain di dalam rumah merasa kecewa kerana bukan barang beliau sahaja tetapi termasuk barang keluarga yang lain.

“Dia sangat mengambil berat tentang barang kepunyaannya, jadi jika dia lupa, dia akan menyalahkan orang lain dan tidak akan menerima jawapan melainkan dirinya sendiri. Kami hanya mampu bersabar dengan kerenah beliau dan ingat bahawa penyakit itu luar daripada jangkauan beliau dan bukan suatu yang dingini,” kongsi Brandon.

Namun, Brandon merasa masih naif ketika itu dan belum lagi memahami tentang demensia, sehinggakan beliau juga akan membalas dengan sikap agresif.

“Saya merasa menyesal kerana tidak mengetahui dan mempelajari tentang demensia. Jika saya mengetahui lebih awal, saya tidak akan bertindak seperti itu dan berfikir itu hanyalah perilaku orang tua.

“Setahu saya, ahli keluarga saya tidak memiliki penyakit demensia. Saya sangat terkejut nenek saya satu-satunya yang menghidap penyakit tersebut,” jelas beliau.

Sehubungan dengan keadaan nenek beliau, Brandon mengatakan doktor telah memberikan ubat untuk dimakan oleh neneknya setiap hari. Namun, doktor berkenaan tidak mengetahui ubat apa yang harus diberikan dan hanya menganggap ubat tersebut akan menolong dalam memperlahankan proses demensia. Memandangkan usianya yang tua, lama-kelamaan perubatan itu harus dihentikan kerana tidak lagi berkesan.

Ketika ditanya tentang cabaran yang dihadapi oleh beliau sebagai seorang penjaga muda, beliau memberitahu terdapat dua komponen utama yang akan diuji iaitu kecekalan mental dan kesabaran.

“Saya bukan seorang yang penyabar, jadi ia sangat mencabar sehingga sekarang tetapi tidak seburuk pada waktu dulu. Hakikatnya, sebagai seorang penjaga muda yang masih melanjutkan pelajaran mempunyai banyak tugasan yang perlu dilakukan semasa berada di luar atau dalam rumah sebelum wabak melanda.

“Harus dipertimbangkan bagaimana semua itu akan memberikan kesan buruk dari segi fizikal, emosi dan mental. Tambahan lagi, orang yang sakit itu adalah seseorang yang amat kita sayangi, tidak dapat dibayangkan kesakitan dan penderitaan yang dilaluinya,” jelasnya.

Tangani tekanan dengan cara betul

Sehubungan dengan itu, beliau mengongsikan beberapa kaedah untuk menangani situasi apabila beliau serta keluarga merasa tertekan. Apabila merasa tertekan, beliau akan menceritakan kesukaran yang dihadapinya kepada seseorang yang boleh dipercayai seperti kawan baiknya, ibu bapa atau ahli keluarga beliau. Ini adalah sangat penting untuk tidak menangani situasi tersebut secara berseorangan, akan tetapi bergantung kepada satu sama lain dan bersama-sama menghadapinya.

“Layan mereka yang menghidap demensia seperti biasa yang anda lakukan selama ini. Dengan melakukan sedemikian, ia akan menolong anda untuk kurang merasa tertekan. Jika mereka berkelakuan negatif, perlu diingati bahawa mereka tidak mahu berkelakuan sedemikian.

“Berikan kasih sayang dan perhatian sepenuhnya walaupun ianya sangat mencabar kesabaran dan boleh menyebabkan untuk merasa tertekan. Jangan bercakap atau berkelakuan kasar dengan mereka,” tambahnya.

Di samping itu apabila beliau merasa tertekan, beliau akan keluar rumah, pergi ke gim untuk beberapa jam, atau melakukan perkara yang disukainya.

Beliau memberikan nasihat bahawa apabila rasa ingin melawan dan berkasar kepada mereka, ingatlah kembali kasih sayang yang telah mereka berikan sebelum semua itu terjadi.

Menurut beliau lagi, inilah masanya untuk membalas kembali kasih sayang yang mereka berikan sebelum mereka mengalami penyakit demensia kerana mereka amat memerlukannya. Tambah beliau, kesabaran itu amat penting dan signifikan kerana kesabaran kita akan diuji jadi diharap untuk bersabar dengan tingkah laku mereka serta diri sendiri.

Pihak Demensia Brunei berharap dengan mengongsikan sesi perbualan bersama Brandon boleh meningkatkan tahap kesedaran orang ramai untuk lebih peka terhadap kesakitan dan penderitaan yang dialami oleh pesakit demensia.

Bersempena dengan Bulan Demensia Sedunia, Demensia Brunei mengadakan berbagai inisiatif untuk membantu dalam memberikan kesedaran mengenai demensia kepada masyarakat seperti perbincangan santai secara dalam talian melalui media sosial.