Pupuk kesedaran kepentingan ICT

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia (WTISD) diraikan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai kemungkinan yang boleh dibawa oleh ICT kepada masyarakat dan ekonomi.

Sehubungan dengan itu, WTISD 2020 yang membawa tema, Connect 2030: ICTs for the Sustainable Development Goals (SDGs), mencerminkan perkembangan dalam ICT bagi peralihan ke arah pembangunan mampan dan pintar.

Tema itu juga menumpukan kepada penyelesaian ICT khusus dan trend baharu bagi memupuk kemapanan ekonomi, alam sekitar dan sosial, menyumbang kepada lima matlamat strategik bagi Agenda Connect 2030 iaitu pertumbuhan, keterangkuman, kemapanan, inovasi dan kerjasama.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), di sini, hari ini, menyatakan bahawa berdasarkan kepada statistik 2019 Global and Regional ICT, ITU, 53.6 peratus penduduk global sekarang menggunakan Internet, namun begitu, dianggarkan 3.6 bilion masih lagi di luar talian (offline) terutamanya di negara-negara paling kurang maju.

Di samping itu, penggunaan Internet di negara-negara maju kini sedang menghampiri tahap ketepuan dengan hampir 83 peratus individu berada dalam talian (online).

Bagi Negara Brunei Darussalam, kesalinghubungan pada masa ini menjadi keperluan utama di mana ia adalah selaras dengan visi MTIC dalam Pelan Strategik 2025 ke arah sebuah Negara Pintar Saling Berhubungan (Connected Smart Nation).

Kenyataan menjelaskan bahawa mengikut Laporan Isi Rumah ICT Brunei Darussalam 2019, 95 peratus individu menggunakan Internet dalam kehidupan seharian dan pada 2019, penggunaan telefon bimbit telah mencapai 134 peratus jumlah penduduk.

Sementara itu, liputan perkhidmatan 4G berada dalam lingkungan 70 peratus hingga 98 peratus melintasi di keempat-empat daerah.

Di Negara Brunei Darussalam, jelas kenyataan itu lagi, beberapa inisiatif ke atas aplikasi teknologi baru seperti kecerdasan buatan (AI) dan Data Besar (Big Data) telah dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi di bawah kerjasama seluruh negara untuk mengurangkan situasi COVID-19.

Perkhidmatan-perkhidmatan atas talian oleh pihak kerajaan dan sektor swasta juga telah dikembangkan untuk mempercepatkan lagi penghantaran perkhidmatan kepada orang ramai.

Kenyataan itu menyatakan lagi bahawa untuk memudahkan pembelajaran atas talian bagi pelajar, kegiatan derma bagi peranti komputer telah dianjurkan bersama oleh Kementerian Pendidikan, MTIC dan AITI.

Dalam kesempatan itu, MTIC mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penderma yang murah hati yang telah menyumbang kepada kegiatan derma berkenaan di mana sehingga kini, lebih daripada 1,600 unit peranti komputer telah diterima untuk diagih-agihkan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan.

Dalam bergerak maju ke arah Negara Pintar Saling Berhubungan, MTIC akan terus menyokong bagi lebih banyak usaha kerjasama di antara agensi-agensi kerajaan, GLCs, sektor swasta dan para pengguna bagi menangi lima matlamat strategik untuk Connect 2030: ICTs for the Sustainable Development Goals (SDGs) Agenda.