Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Pupuk kesedaran kesihatan mental dalam kalangan pelajar

    Oleh Nurdiyanah R.

    Kesihatan mental bukan satu perkara yang dianggap sebagai tabu seperti sebelumnya, hal ini kerana kes-kes kesihatan mental semakin sering didengar sejak kebelakangan ini.

    Menyentuh mengenai kesihatan mental dalam kalangan pelajar, dapat dikenal pasti salah satunya melalui tahap pencapaian dalam akademik mereka yang jauh menurun dan berbeza dari sebelumnya sepanjang tahun.

    “Waktu-waktu selepas menduduki peperiksaan dan menanti keputusan itulah antara kemuncak tekanan yang sering berlaku dalam kalangan pelajar dan tidak terkecuali guru-guru yang bertungkus-lumus memeriksa kertas-kertas jawapan peperiksaan.

    “Segala tekanan itu memang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata sepenuhnya namun apa yang pasti jiwa raga kita memerlukan waktu rehat. Manfaatkan masa untuk menyayangi diri sendiri dengan merehatkan fikiran, itulah yang terbaik untuk mengurangkan bebanan diri kita,” itulah antara yang dikongsi oleh Kaunselor, Sekolah Menengah Tanjong Maya (SMTM), Daerah Tutong, Dayang Suziana binti Ibrahim ketika ditemui penulis semasa berlangsungnya program kesedaran kesihatan mental menerusi Charity & Stress Free Day anjuran SMTM dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, baru-baru ini.

    Lebih 600 orang pelajar dari Tahun 7 hingga Tahun 11 bersama guru-guru dan kakitangan sekolah menyertai acara tahunan tersebut sekali gus untuk sama-sama bersantai mengurangkan tekanan setelah menduduki musim peperiksaan.

    Dayang Suziana ketika ditemui penulis semasa Charity & Stress Free Day, baru-baru ini.
    Antara aktiviti yang diadakan semasa acara itu seperti menulis nota kata-kata positif yang dilekat dipapan khusus untuk sama-sama meningkatkan kesedaran kesihatan mental.

    Sementara itu, tiga orang pelajar Tahun 7 Brilliant iaitu Dayang Nurul Afiqah binti Abdul Ghani, Dayang Siti Nurana Annisa binti Abdullah, dan Dayang Anissa Ssandra binti Mohd Yagok mengongsikan menerusi acara berkenaan telah memberi pengetahuan baharu kepada mereka tentang kesihatan mental dan kepentingannya.

    Dayang Nurul Afiqah menjelaskan bahawa sebelumnya beliau tidak mengetahui tentang kesihatan mental, namun apabila diadakan acara sebegini ia telah mendidik dirinya untuk sentiasa menitikberatkan kesihatan secara menyeluruh tidak kiralah dari segi emosi dan fizikal dalam kehidupan sehari-hari.

    Bagi Dayang Siti Nurana Annisa pula, setiap orang memiliki cara tersendiri untuk mengurangkan tekanan lebih-lebih lagi sebagai seorang pelajar, di mana menurutnya salah satu cara untuk mencari ketenangan ialah dengan membaca buku komik.

    Namun berbeza dengan Dayang Anissa Ssandra menjelaskan dirinya lebih suka beriadah seperti menyaksikan pemandangan pantai bersama ahli keluarga untuk memanfaatkan masa terluang.

    Hal itu, ujarnya mampu mewujudkan perasaan yang tenang lebih-lebih lagi ketika melihat keindahan alam semula jadi ciptaan Ilahi.

    Dalam pada itu, Dayang Suziana turut menaruh harapan agar para pelajar dan semua warga sekolah sentiasa mengamalkan keseimbangan antara kepentingan kerja dan kehidupan peribadi demi menjaga kesihatan secara menyeluruh.

    “Kesihatan tidak bermakna tanpa kesihatan mental. Kita perlu berganding bahu dalam sentiasa memiliki kepekaan, mendengar dan membantu insan-insan sekeliling yang memerlukan agar melahirkan masyarakat yang sihat dari segi mental mahu pun fizikal,” ujarnya di akhir pertemuan bersama penulis.

    Menerusi perlaksanaan program bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia berkenaan, kutipan hasil jualan sebanyak 20 peratus daripada setiap penyertaan vendor daripada kalangan pengusaha tempatan disalurkan kepada anak-anak yatim dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah berkenaan dan selebihnya bagi membantu aspek perbelanjaan kegunaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...