Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Seramai 24 orang peserta yang terdiri daripada orang ramai, ahli Green Brunei dan pegawai-pegawai Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kampung Pandan menyertai Program ‘Lajutah Kitar Semula’ yang telah diadakan secara digital oleh Perpustakaan DBP Kampung Pandan pada 19 Mac lalu.
Program secara maya berkenaan diadakan sempena Hari Kitar Semula Antarabangsa dan bertujuan untuk memperingati kepentingan kitar semula bagi mendidik dan meningkatkan lagi ilmu secara lebih mendalam serta memupuk kesedaran terutamanya dalam kehidupan seharian kita.
Turut hadir semasa program itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari.
Program terdahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Awang Mohamad Mu’iz Wafiy bin Mohamdih dari Green Brunei.
Seterusnya, program diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada wakil DBP, Dayang Siti Batrisyia Cheman binti Mohd Suhaili yang menjelaskan bahawa tujuan utama program tersebut adalah untuk meningkatkan lagi kesedaran mengenai kitar semula di Negara Brunei Darussalam kerana kebanyakan penduduk negara ini masih belum memahami atau mengetahui proses mengitar semula.
Program kemudian diteruskan dengan pembentangan daripada Dayang Siti Rabiatul Asyikin binti Mohd Said dari Green Brunei untuk mengongsikan maklumat yang lebih mendalam mengenai hal-hal pengumpulan barangan kitar semula terutamanya kertas dan tin aluminium dengan menggunakan langkah-langkah betul agar inisiatif kitar semula dapat diterapkan di rumah dan di tempat kerja.
Program berkenaan juga diserikan dengan sesi kuiz.
