Saturday, September 30, 2023
23.3 C
Brunei

    -

    Pupuk kesedaran pelajar terhadap pengurusan risiko bencana

    Oleh Nurdiyanah R.

    Banjir atau bah berlaku apabila air menenggelami tempat atau kawasan yang rendah, maka apa yang perlu dilakukan ialah pergi ke kawasan yang lebih tinggi dan selamat.

    Jika air semakin naik, matikan semua peralatan elektrik dan jangan bermain air banjir kerana berkemungkinan terdapat sebarang bahaya seperti binatang liar, penyakit, aliran elektrik dan sebagainya.

    “Jika kenderaan terhenti, tinggalkan tempat banjir itu serta-merta dan cari tempat selamat dan hubungi terus 995 untuk meminta bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP),” kongsi salah seorang penuntut Sekolah Menengah Tanjong Maya, Daerah Tutong, Willey Veltter Jok Singa ketika menyertai Program Pengurusan Risiko Bencana Peringkat Sekolah anjuran Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) yang berlangsung selama dua hari di Dewan Sekolah Menengah Tanjong Maya, sekitar penghujung bulan Ogos lalu.

    Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), Kementerian Pendidikan itu adalah bagi mencapai hasrat ke arah membina masyarakat yang berdaya tahan dalam menempuhi apa juga risiko bencana yang berkemungkinan berlaku.

    Tambah Willey, dengan adanya program berkenaan, mereka berpeluang mengetahui akan fungsi dan peranan NDMC yang memiliki visi sebagai pusat koordinasi yang kompeten dalam pengurusan bencana dan misinya pula bagi membina masyarakat yang berdaya tahan demi kesejahteraan negara.

    Willey semasa ditemui penulis pada majlis berkenaan, baru-baru ini.
    Awang Erwazriel menyatakan program berkenaan banyak membuka mindanya untuk lebih berwaspada dalam kehidupan sehari-hari.
    Para penuntut juga berpeluang mengikuti latihan berkumpulan seperti aktiviti Do’s and Don’ts sebelum, semasa dan selepas kejadian bencana.

    “Di samping itu, program sebegini juga dapat meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan kami dalam mengenal risiko bencana seperti banjir, tanah susur, angin, petir dan membuat tindakan yang betul dan selamat,” kongsinya lanjut.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan penyampaian sijil kepada seramai 35 orang penuntut Tahun 9 termasuk tiga orang fasilitator dan dua orang guru pengawas program berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap, (Keselamatan dan Kesejahteraan), KHEDN, Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah NDMC, Kolonel (B) Muhd Harrith Rashidi bin Haji Muhd Jamin; Pemangku Ketua Kampung Tanjong Maya dan Lubok Pulau, Awang Yakub bin Haji Abdul Rahman; pemangku timbalan pengetua pentadbiran Sekolah Menengah Tanjong Maya; pegawai-pegawai dan para kakitangan NDMC dan pihak sekolah.

    Sementara itu, salah seorang pelajar yang turut menyertai program berkenaan, Awang Erwazriel bin Eddika turut mengongsikan segala pengeta- huan yang diketengahkan khususnya dari segi latihan berkumpulan seperti aktiviti Do’s and Don’ts sebelum, semasa dan selepas kejadian bencana itu banyak membuka minda untuk lebih berwaspada dalam kehidupan sehari-hari.

    “Dengan adanya ilmu ini, saya dapat berkongsi dengan ahli keluarga di rumah agar sama-sama memahami apabila berlakunya risiko bencana.

    “Antaranya jika berlakunya tanah susur semasa masih berada dalam rumah maka sebaiknya jangan cemas dan bawa bertenang.

    “Apa yang perlu dilakukan sebagai langkah awal ialah matikan bekalan elektrik dan air jika keadaan masih selamat untuk melakukannya. Maklumkan kepada jiran-jiran terdekat dengan segera, kemudian dapatkan beg kecemasan dan berpindah dengan segera jika keselamatan mengizinkan.

    “Namun jika kita dalam keadaan terperangkap maka perlu menghubungi JBP,” jelasnya.

    Ujarnya, selain itu semasa terjadinya petir, kita adalah dielakkan dari bermain di kawasan luar atau pun keluar rumah. Elakkan juga dari berdiri di bawah pokok-pokok tinggi mahu pun berada dalam bangsal atau khemah. Oleh itu, apabila berlakunya ribut petir maka disarankan untuk mendapatkan perlindungan dalam bangunan atau kenderaan dan jauhi daripada objek dan perkakas berlogam atau besi untuk keselamatan bersama.

    Selain itu, elakkan menggunakan sebarang peralatan elektrik atau telefon bimbit kerana ia dikhuatiri boleh disambar kilat. Begitu juga elakkan dari menggunakan tab mandi, paip air dan sinki kerana arus elektrik boleh mengalir melalui saluran paip besi.

    Selain itu, jelasnya, mereka juga diketengahkan mengenai Nature Power, Grab Bag, Hazard Visit dan Membentuk Pelan Tindakan Menghadapi Bencana di Sekolah untuk kesiapsiagaan warga sekolah.

    Oleh yang demikian, dengan pengetahuan dan pengalaman yang telah diperoleh semasa menyertai program berkenaan adalah diharapkan ia akan menjadi panduan bagi mengurangkan impak bencana ke atas kehidupan seharian masyarakat di negara ini termasuklah warga sekolah.

    Sehubungan itu, NDMC akan sentiasa menjalinkan hubungan kerjasama dengan agensi-agensi berkepentingan dalam menangani kejadian bencana di negara ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Singa baham tuan

    TOKYO, 29 SEPT – Seorang penjaga zoo di taman safari Jepun terbunuh selepas seekor singa dipercayai menyerangnya ketika dia cuba membawa haiwan itu masuk...