Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perancangan pendidikan bagi golongan pelajar dan ibu bapa semasa menyertai Ekspo Pendidikan Tinggi yang sedang berjalan secara maya bermula kelmarin hingga 11 Februari depan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Perbadanan TAIB, penyertaan dalam ekspo berkenaan bertujuan untuk menyediakan penyelesaian dan nasihat mengenai perancangan pendidikan bagi para pelajar bersama ibu bapa mereka melalui sembang langsung dan persidangan video.
Di samping itu, TAIB juga menekankan faedah yang boleh diperoleh oleh para pelajar dengan mendaftar bagi Education Savers, Education Financing, Education Kit Financing dan sebagainya yang sememangnya dikhususkan untuk golongan pelajar.
Perancangan pendidikan itu, jelas Perbadanan TAIB, melibatkan strategi pelaburan khususnya dalam menangani keperluan pendidikan sesebuah keluarga. Ia melibatkan jangkaan dan rancangan keperluan tersebut.
Antaranya, Education Savers direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup pelajar dan Education Financing pula menyediakan pembiayaan untuk yuran pendidikan dan perbelanjaan pengajian tempatan dan luar negara.
Manakala itu, Education Kit Financing turut menyediakan pembiayaan untuk membeli komputer dan aksesori berkaitan keperluan pendidikan.