Friday, December 6, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk kesedaran tentang salah guna dadah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Seramai 27 pelajar Tahun 4 terdiri daripada 10 lelaki dan 17 perempuan dari Fakulti Usuluddin, Akidah dan Dakwah (FU), Universiti Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Biro Kawalan Narkotik (BKN).

    Rombongan lawatan tersebut telah diketuai oleh pensyarah dari FU dan pengajar bagi Kursus Al-Harakat Al-Daawiyah Al-Muasirah, Dr Ahmed Fadhel Yousif.

    Semasa lawatan itu turut diadakan ceramah Pencegahan Dadah yang disampaikan oleh Pegawai Narkotik, Pengiran Wisma Dino bin Pengiran Hamdan, di Bangunan Divisyen Pendidikan Pencegahan Dadah. Antara intipati yang disampaikan oleh beliau ialah mengenai jenis-jenis dadah yang kerap disalahgunakan di Negara Brunei Darussalam termasuk kesan bahaya terhadap penyalahgunaannya.

    Para pelajar turut berpeluang melawat galeri pameran yang disediakan di BKN.

    Antara lain objektif lawatan itu adalah untuk meningkatkan kesedaran para pelajar tentang isu-isu sosial yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah serta impaknya kepada masyarakat dari perspektif Islam. Melalui lawatan itu, pelajar juga dapat memahami peranan dan pendekatan dakwah dalam pencegahan penyalahgunaan narkotik melalui kerjasama dengan pihak berkuasa serta pelaksanaan program pemulihan khusus.

    Selain itu, lawatan tersebut juga berfungsi sebagai persediaan untuk pelajar memperoleh pengetahuan mengenai kaedah dan strategi dakwah yang boleh diterapkan dalam mendidik masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan narkotik dan mempromosikan gaya hidup sihat selaras dengan ajaran Islam.

    Para pelajar dari FU UNISSA bergambar ramai semasa mengadakan lawatan ke BKN. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda