Pupuk kesedaran terhadap penjagaan haiwan

KAHERAH – Beribu-ribu pemilik dan pencinta haiwan berkumpul di Karnival Haiwan Aleef kali ke-4 di Taman Kanak-kanak Kaherah untuk bersosial dan beraktiviti baru-baru ini.

Acara dua hari tersebut diadakan untuk membantu peserta menambah pengetahuan mengenai cara memelihara dan membesarkan haiwan kesayangan dan peliharaan mereka.

“Kami mula memikirkan tentang karnival ini semasa empat tahun yang lalu bagi menyebarkan pengetahuan tentang haiwan kepada pencinta haiwan di Mesir,” kata Pengarah Karnival, Nadine Hamdy, yang turut diselenggarakan bersama oleh pemilik haiwan kesayangan.

Idea itu bermula apabila pencinta haiwan berkumpul bersama-sama dan bertukar-tukar pengetahuan mengenai haiwan, katanya dan menambah bahawa acara itu diperluaskan dengan mempamerkan haiwan lain seperti burung kakak tua, hamster, kura-kura, ferret dan reptilia.

“Karnival bukan sahaja bertujuan untuk mempamerkan haiwan kesayangan, malahan bertukar-tukar idea dan maklumat tentang bagaimana untuk membesarkan haiwan masing-masing,” kata Hamdy, sambil menegaskan bahawa karnival itu juga menganjurkan jualan makanan haiwan antarabangsa dan banyak lagi.

Acara dua hari tersebut diadakan untuk membantu peserta mempelajari tentang memelihara dan membesarkan haiwan kesayangan. – Xinhua
Bagi peserta pameran, karnival ini adalah penting kerana ia berfungsi sebagai platform di mana mereka dapat membiarkan pengunjung untuk menambah pengetahuan tentang haiwan secara umum. – Xinhua

Bekalan terapeutik termasuk ubat, vitamin dan pencegahan penyakit bagi memastikan keselamatan haiwan dan pemilik juga turut dijual di karnival berkenaan, tambah Hamdy. “Terdapat juga doktor haiwan dan makmal untuk sebarang pertanyaan atau pemeriksaan kesihatan semasa karnival tersebut,” katanya kepada media.

Ia juga mengadakan beberapa pertandingan untuk haiwan peliharaan dan kini semakin terkenal di Mesir, menurut Hamdy, sambil menambah bahawa bilangan pengunjung semakin meningkat setiap tahun. “Saya mempunyai dua orang anak perempuan dan ingin menyaksikan karnival ini setiap tahun, anak-anak saya suka haiwan kesayangan dan boleh bermain di taman yang luas ini,” kata Farid Kotb, penduduk Mesir kepada Xinhua.

Kotb berkata bahawa karnival selama dua hari itu bermakna anak-anak perempuannya berpeluang untuk melihat pelbagai jenis haiwan yang dipamerkan. “Karnival ini sama seperti kebun binatang namun dalam jumlah yang kecil. Kami mempunyai pelbagai jenis haiwan di sini, seperti burung helang, reptilia, tikus, burung peliharaan dan juga cacing,” tambahnya.

Bagi peserta pameran, karnival ini adalah penting kerana ia berfungsi sebagai platform di mana mereka dapat membiarkan pengunjung untuk meningkatkan pengetahuan mengenai haiwan secara umum dan haiwan peliharaan mereka khususnya.

Wafiq Khawaga, penternak reptilia dan burung helang berkata bahawa karnival itu membantunya menyebarkan budaya mengenai ternakan haiwan khususnya yang tidak selalu dipelihara malah kini, ramai yang menerima idea untuk memelihara reptilia seperti ular dan kala jengking.

“Tidak mudah khususnya di Mesir meyakinkan orang ramai untuk membawa ular ke dalam rumah, tetapi karnival ini memudahkan saya kerana para pengunjung dapat bermain dengan ular di sini,” kata Khawaga. – Xinhua