Saturday, November 2, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk kesejahteraan mental dan emosi golongan pendidik

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Menjaga kesihatan mental bukan lagi satu pilihan, tetapi satu ke-perluan yang mesti dititikberatkan, terutamanya dalam memastikan para guru berada dalam keadaan yang sejahtera.

    ”Sebagaimana kita mengutamakan pencapaian akademik pelajar, sudah tiba masanya untuk memberikan perhatian yang sama kepada kesihatan mental di tempat kerja, khusus dalam persekitaran institusi pendidikan.”

    Perkara tersebut dijelaskan oleh Pengasas CureHeart, Hajah Norajleen Uminatul Hafizan binti Haji Alimas pada Forum Nurturing Heart: Supporting Educator’s Well-Being sempena Majlis Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 yang berlangsung di Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi dan timbalan pengetua kolej selaku penaja utama majlis, Dr Sivarajah Subramaniam.

    Beliau dalam ucapan alu-aluan antara lain turut menjelaskan bahawa golongan pendidik memikul tanggungjawab besar dalam mendidik generasi masa depan, dan kesejahteraan mereka perlu diberikan keutamaan agar mereka dapat terus berkhidmat dengan cemerlang bukan sahaja sebagai pendidik, tetapi sebagai pembimbing dan contoh teladan kepada para pelajar dan anak-anak.

    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati bersama tetamu khas yang lain di forum berkenaan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Dr Siti Norhedayah dan Dr Sahaheen Zinna membincangkan mengenai Safeguarding Educators and Special Needs Educators: Nurturing Those Who Care pada forum pertama. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Selain itu, guru memainkan peranan penting dalam membentuk bukan sahaja kecemerlangan akademik, tetapi nilai murni dan akhlak generasi muda yang menerajui masa depan negara, tambahnya.

    Beliau seterusnya menegaskan bahawa generasi hari ini berdepan dengan cabaran baharu iaitu daripada transformasi digital hingga kepada kerumitan sosial dan emosi, dan dalam melaksanakan tugas itu, guru-guru menanggung beban emosi dan mental yang mendalam.

    ”Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan bahawa para pendidik diberikan sokongan yang sewajarnya, baik dari segi emosi mahupun mental, agar mereka terus bersemangat dalam melaksanakan tanggungjawab yang amat besar ini,” jelasnya.

    ”Dengan perbincangan dan perkongsian bersama dalam forum ini, ia akan dapat mencari cara yang lebih bermakna untuk menyediakan para pendidik dengan sumber, sokongan emosi, dan keseimbangan kerja-kehidupan yang mereka perlukan.

    ”Kita juga berharap untuk mendengar pandangan daripada pakar-pakar, berkongsi amalan terbaik dan membincangkan inisiatif yang selaras dengan nilai-nilai murni, prinsip-prinsip Islam dan trend global dalam kesejahteraan pendidik,” tambahnya.

    Forum terbahagi kepada dua sesi iaitu forum pertama yang memfokuskan kepada Safeguarding Educators and Special Needs Educators: Nurturing Those Who Care, di mana ahli panel terdiri daripada Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, SHIBIE, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Siti Norhedayah binti Haji Abdul Latif dan Pakar Bersekutu dalam Psikiatri, Perunding Kesihatan Mental Kanak-kanak dan Remaja, Kementerian Pendidikan, Dr Sahaheen Zinna binti Dato Paduka Dr Haji Shaukat Zinna.

    Sementara itu, forum kedua menumpukan kepada Setting Boundaries in the Workplace: Navigating Affairs, Spirituality, and Mental Health, di mana ahli panel terdiri daripada Presiden Persatuan Sumber Manusia, Hajah Zainab binti MA Omar, dan Penolong Kaunselor Penjara di Jabatan Penjara, Awang Fariszal Ali.

    Hari Kesihatan Mental Sedunia disambut di seluruh dunia pada 10 Oktober yang mana forum berkenaan antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu kesihatan mental dan menggerakkan usaha bagi menyokong penjagaan kesihatan mental di seluruh dunia, dan tema untuk tahun ini ialah Kesihatan Mental di Tempat Kerja.

    Forum tersebut dihadiri oleh guru-guru, guru keperluan khas dan profesional kaunseling dari sekolah di seluruh negara dan pelajar LCB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda