Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Dalam mengharungi era transformasi digital dan penyebaran maklumat yang sangat pantas, tidak dinafikan ia juga menjadi salah satu faktor yang boleh mempengaruhi minda dan perilaku ma-syarakat untuk terjerumus ke arah perkara-perkara yang negatif.
“Oleh itu, penekanan terhadap keutuhan jati diri menurut prinsip Melayu Islam Beraja adalah sangat penting terutama bagi golongan belia di negara ini.”
Penekanan itu dibuat oleh Ketua Seksyen Komunikasi Strategik, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dayang Mufidah binti Abdul Hakim dalam ucapannya semasa Majlis Pembukaan Program Masyarakat Bermaklumat bagi Persatuan Mahasiswa Universiti Brunei Darussalam (PMUBD) dan Alumni Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang berlangsung di Dewan Auditorium, Jabatan Penerangan, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya.
Dayang Mufidah berkata, selaras dengan visi Jabatan Penerangan, membudayakan masyarakat bermaklumat, Program Masyarakat Bermaklumat merupakan salah satu landasan jabatan berkenaan dalam menyampaikan maklumat rasmi serta maksud kerajaan yang dikendalikan secara berterusan di keempat-empat daerah.
Program itu menumpukan perhatian kepada institusi mukim dan kampung, persatuan dan kalangan belia melalui sesi taklimat, dialog dan lawatan supaya masyarakat terutamanya para belia dapat memahami, menyokong dan menghargai usaha kerajaan dalam sama-sama membangun negara terutamanya bagi mencapai wawasan 2035.
Program itu, jelas Dayang Mufidah lagi, merupakan inisiatif jabatan dalam memberikan peluang kepada masyarakat untuk menimba ilmu pengetahuan dengan lebih lanjut, mengikut keperluan semasa dalam menghadapi cabaran pada masa ini.
Seramai 53 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi PMUBD dan Alumni UBD menyertai program dua hari berkenaan yang menumpukan kepada tema-tema strategik yang menyentuh mengenai peranan dan tanggungjawab rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam, pemeliharaan akidah dalam melindungi diri daripada ajaran sesat, pengukuhan nilai-nilai integriti bebas rasuah dan pengetahuan dalam penggunaan teknologi secara lebih berhemah.
Menerusi tajuk-tajuk taklimat yang dikendalikan sepanjang program berkenaan, ia diharap akan dapat mendedahkan para peserta dengan ilmu pengetahuan yang menjurus kepada pembentukan peribadi belia yang syumul, berpaksikan nilai-nilai jati diri keBruneian dan siaga masa depan.