Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Pupuk minat berniaga

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Sebagai usaha mendedahkan murid-murid kepada bidang keusahawanan, Sekolah Rendah Bebuloh telah menganjurkan Hari Keusahawanan ke-2 yang berlangsung tiga hari hingga esok.

    Majlis perasmian aktiviti berkenaan telah diadakan hari ini dan disempurnakan oleh Pemangku Ketua Kampung Mulaut, Awang Hamizan bin Haji Mustapa selaku tetamu kehormat.

    Guru Besar Sekolah Rendah Bebuloh, Dayang Sarbanun binti Judin dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan bahawa penganjuran Hari Keusahawanan sekolah berkenaan merupakan susulan daripada penganjuran acara serupa diadakan pada 2019.

    Walau bagaimanapun, pihak sekolah terpaksa menunda penganjurannya lebih dua kali disebabkan wabak COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia.

    Sebanyak 18 vendor yang terdiri daripada pengusaha kecil-kecilan dan ibu bapa murid serta penduduk yang tinggal di kawasan sekolah berkenaan telah menyertai acara tersebut bagi memeriahkan projek yang dijalankan.

    Tetamu kehormat majlis menyempurnakan perasmian Hari Keusahawanan Sekolah Rendah Bebuloh ke-2.
    Antara barang jualan diketengahkan pada Hari Keusahawanan Sekolah Rendah Bebuloh ke-2.

    Pengerusi projek berkenaan, Dayang Norshrantinah binti Haji Rajid ketika ditemui mengongsikan bahawa antara objektif projek tersebut adalah sebagai pendedahan untuk membangkitkan minat murid-murid kepada aktiviti keusahawanan.

    Ia juga sebagai salah satu cara untuk menggalakkan murid berfikir secara kreatif dalam perniagaan serta sebagai salah satu usaha pihak sekolah dalam meningkatkan minat murid-murid terhadap mata pelajaran Matematik, pembelajaran sosial dan kemahiran sosial.

    Dayang Norshrantinah menambah, pihak sekolah berharap dengan adanya aktiviti seperti itu, ia dapat mengeratkan silaturahim antara warga sekolah dan penduduk Kampung Bebuloh khususnya para ibu bapa dan penjaga murid.

    “Antara aktiviti yang diadakan ialah jualan makanan dan minuman, pakaian, buah-buahan tempatan, pesta ria dalam dan luar bangunan,” ujarnya.

    Menurut beliau, empat buah sekolah berdekatan turut diundang bagi menghadiri dan meramaikan acara berkenaan termasuklah dari Sekolah Rendah Panglima Barudin Limau Manis, Sekolah Rendah Pengkalan Batu, Sekolah Rendah Batang Mitus dan Sekolah Rendah Panchor Murai.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...