Pupuk minat dalam mata pelajaran sains

BANDAR SERI BEGAWAN – Pelajar Tahun 6 dari empat buah sekolah rendah telah menghadiri aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh guru-guru dan pelajar Pusat Tingkatan Enam Katok/Pusat Tingkatan Enam Sengkurong sempena Ulang Tahun ke-10 mereka baru-baru ini.

Acara bermula dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Jabatan Kimia, Mohammad Hanapiah Haji Ismail yang menyentuh mengenai matlamat acara yang termasuk memupuk minat dalam sains di kalangan pelajar sekolah rendah, memberi inspirasi kepada mereka untuk menimba pengetahuan baharu, memperoleh pengalaman dan menggalak kemajuan dalam ilmu pengiraan, celik huruf serta teknologi.

Selepas ucapan daripada Pengetua, Haji Jafri bin Haji Suhaili, pelajar tingkatan enam; Ibnu dan Jason yang memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Pameran Sains OGDC 2018 menunjukkan pembersih hampa gas dan peniup mereka yang dibuat daripada bahan kitar semula.

Untuk memupuk minat dalam bidang sains, pelajar sete-rusnya menghadiri demonstrasi dan pameran dalam makmal Sains yang disediakan oleh pelajar dan guru sains PTE Sengkurong.

Untuk mata pelajaran Biologi, pelajar Tahun 6 berpeluang mengkaji organ haiwan yang telah dibedah. Aktiviti berkaitan sains yang menarik diadakan dalam usaha untuk membantu pelajar-pelajar menimba pengetahuan dalam lokasi organ dalam tubuh badan manusia.

Pelajar juga memperoleh pengalaman menarik menyaksikan ‘api’ yang dipindah daripada tangan seorang pelajar kepada pelajar lain untuk mata pelajaran Kimia. Mereka juga kagum dengan demonstrasi lain seperti roket etanol, lampu lava serta warna dan gelembung yang dihasilkan oleh pelbagai reaksi kimia.

Untuk mata pelajaran Fizik pula, pelajar-pelajar mempunyai pengalaman secara langsung apabila mereka memasukkan tangan mereka ke dalam cecair bukan Newtonan yang dibuat daripada tepung jagung dan air.

Mereka berasa seronok mengambil bahagian dalam permainan dan aktiviti yang membabitkan magnetisme, elektrik statik dan tekanan.

Pelajar terpukau melihat ‘api’ yang dipindah daripada tangan seorang pelajar kepada pelajar lain.