Pupuk minat membaca dalam kalangan pelajar

Oleh Syahmi Hassan

TUTONG, 15 SEPT – Syarikat Best Eastern Sdn Bhd telah mengadakan Pameran dan Jualan Buku di Sekolah Menengah Sayyidina Othman, baru-baru ini.

Acara pameran dan jualan yang diadakan selama dua hari itu bertujuan bagi memberikan peluang kepada para pelajar dan guru-guru untuk memilih buku bacaan yang akan ditender oleh sekolah bagi kegunaan perpustakaan.

Selain itu, ia juga bertujuan bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya budaya membaca yang merupakan faktor utama dalam melahirkan masyarakat Brunei yang berilmu, bermaklumat, berpengetahuan, berkualiti dan bagi mendukung Wawasan Brunei 2035 iaitu melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

Ia juga bagi memupuk minat pelajar untuk membaca bahan-bahan yang mengandungi sumber maklumat, pengajaran dan teladan yang elok untuk dicontohi.

Membaca juga boleh melatih diri untuk menjadi seorang yang berdisiplin dan meningkatkan kreativiti, meningkatkan kemahiran tatabahasa dan membantu cara berkomunikasi dengan lebih baik dan teratur.

Para pelajar tidak melepaskan peluang melihat buku-buku yang dijual pada acara berkenaan.