Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Untuk menanamkan minat membaca dan cintakan buku dalam kalangan masyarakat, ia harus dilaksanakan daripada usia yang muda lagi seperti bak kata pepatah, ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’.
Sehubungan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menubuhkan sudut bacaan khas untuk Peachtree Playhouse yang dirasmikan dalam majlis yang berlangsung di Peachtree Playhouse, Kampung Salambigar, hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan perasmian sudut bacaan berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.
Penubuhan sudut bacaan khas berkenaan merupakan usaha DBP untuk memupuk minat membaca dan cintakan buku dalam kalangan kanak-kanak.
Ia juga merupakan salah satu perkhidmatan yang ditawarkan oleh Perpustakaan DBP Brunei dalam menyediakan koleksi bahan bacaan bersesuaian bagi memenuhi pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.
Terdahulu sebelum perasmian sudut bacaan berkenaan, Pengetua dan Pengarah Peachtree Playhouse, Jinnise Wong memimpin aktiviti membaca dengan pelajar-pelajar pusat berkenaan.
Majlis kemudian diteruskan dengan perasmian sudut bacaan oleh Pengiran Haji Mohd Hasnan yang diberikan penerangan mengenai sudut serta pembelajaran yang dikendalikan di pusat berkenaan oleh Jinnise Wong.
Sudut bacaan itu menyediakan bahan bacaan yang berkaitan dengan pembelajaran awal seperti buku bergambar dan buku-buku cerita yang bersesuaian mengikut peringkat umur.
Secara purata, kira-kira 100 hingga 200 buah buku dalam bahasa Inggeris disediakan dan buku-buku berkenaan akan ditukar setiap tiga hingga enam bulan sekali mengikut keperluan dan permintaan pihak Peachtree Playhouse.
Sementara itu, Pengurus pusat berkenaan, Dayang Maydelyn Ling binti Mohammad Tony Ling menerangkan bahawa Peachtree Playhouse telah ditubuhkan pada 2017 sebagai program prasekolah yang sesuai untuk kanak-kanak sebelum mereka menuju ke alam persekolahan.
Ia mengetengahkan konsep bermain sambil belajar, di mana ia bertujuan untuk menggalakkan perkembangan kanak-kanak berkenaan dalam kemahiran sosial.
Mengulas mengenai inisiatif sudut bacaan khas itu, Dayang Maydelyn Ling menyatakan bahawa apabila mereka mendengar inisiatif berkenaan, mereka begitu teruja dan sangat berminat untuk menyokong sudut bacaan itu.
Beliau menyatakan harapan supaya kerjasama seumpama itu akan dilaksanakan berterusan dan tidak terhenti supaya mereka bersama-sama dapat mencapai matlamat serta menjayakan misi demi kanak-kanak di negara ini.
“Saya pasti buku-buku yang telah dipamerkan akan menjadi manfaat dan sumber ilmu untuk kanak-kanak di sini,” ujarnya.