Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Okt – Rombongan dari Universiti Teknologi MARA, cawangan Sabah, semalam telah mengadakan lawatan ke Syarikat Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd, yang terletak di Perindustrian Lambak Kanan.
Kedatangan rombongan seramai 26 orang itu telah dialu-alukan oleh Pengurus Besar Sabli Group of Companies, Awang Jasmadi Jamudin dan Pegawai Tugas-tugas Khas Syarikat Sabli Group of Companies, Awang Mohd Yazid @ Mohd Ramadhan B Sabaraya.
Pada lawatan itu, rombongan berkenaan telah diberi pengenalan dan keterangan lanjut mengenai fungsi dan operasi yang dikendalikan di bawah Sabli Group of Companies, di mana syarikat berkenaan mula ditubuhkan dengan menghasilkan produk rempah dan makanan berasaskan tepung.
Menurut Awang Mohd Yazid, syarikat berkenaan telah menerima lawatan dari sekolah-sekolah, majlis perundingan kampung, universiti mahupun pengusaha persendirian setiap bulan bagi menyaksikan bagaimana syarikat itu beroperasi, malah turut membuka peluang untuk menjalin kerjasama perniagaan bersama para peniaga kecil yang lain.
Rombongan berkenaan turut dibawa melawat ke kilang pemprosesan rempah yang dihasilkan syarikat tersebut.
Lawatan bertujuan untuk mempelajari asas-asas keusahawanan di samping memupuk minat rombongan berkenaan dalam bidang keusahawanan, selain memberi peluang untuk bertukar-tukar pendapat mengenai produk keluaran tempatan.
