Pupuk perasaan cintai BM, MIB

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Dalam usaha memupuk perasaan mencintai Bahasa Melayu dan Melayu Islam Beraja (MIB) dalam kalangan murid-murid, Sekolah Rendah Kampung Mata-Mata, Gadong, Kluster I, telah melancarkan ‘Seronoknya Bahasa & Budaya Kita’.

Pelancaran pada majlis yang berlangsung di dewan sekolah itu telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dengan disaksikan oleh 265 orang murid sekolah berkenaan.

Acara berkenaan adalah sempena Bulan Mata Pelajaran Bahasa Melayu dan MIB yang dihasratkan dapat menanam minat murid-murid dalam mempelajari mata pelajaran tersebut seterusnya mencungkil bakat mereka dalam pelbagai sudut tatabahasa, di samping mendedahkan, memperkenalkan dan menanamkan rasa cinta negara serta menyokong kempen ‘Kenali Budaya Kitani’.

Ia juga dihasratkan dapat memberikan pengalaman belajar yang lebih praktikal dan menyeronokkan melalui aktiviti, pameran dan demonstrasi permainan tradisi, muzik tradisi, pakaian tradisi dan makanan tradisi Brunei sambil mencubanya sendiri.

‘Seronoknya Bahasa & Budaya Kita’ dilaksanakan dengan kerjasama pegawai dan kakitangan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Pada majlis pelancaran itu, beberapa aktiviti turut diadakan antaranya pameran sejarah, jualan buku, demonstrasi permainan tradisi, khat jawi, takapan batu nisan dan pelbagai aktiviti lagi.

Selain itu, acara dimeriahkan dengan persembahan berbentuk nyanyian lagu tradisional Brunei oleh murid-murid Tahun 1 hingga 4, kuiz Bahasa Melayu serta demonstrasi dan pameran makanan tradisi Brunei oleh guru-guru Bahasa Melayu sekolah berkenaan.

Turut hadir pada acara berkenaan ialah Pegawai Kluster I, Haji Affendy bin Haji Mohd Kassim, guru-guru besar, guru pengawas dan murid-murid dari lapan buah sekolah rendah Kluster I yang berdekatan.

Sekolah-sekolah yang menghadiri majlis pelancaran berkenaan adalah Sekolah Rendah Beribi, Telanai; Sekolah Rendah Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar, Kiarong; Sekolah Rendah Tungku; Sekolah Rendah Katok A; Sekolah Rendah Katok B; Sekolah Rendah Pintu Malim; Sekolah Rendah Pusar Ulak dan Sekolah Rendah Pengiran Pekerma Setia Diraja Sahibul Bandar, Mata-Mata.

Antara murid sekolah yang tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti yang disediakan.