Pupuk semangat belia cintakan ilmu agama

Oleh Yusrin Junaidi

TUTONG, 14 SEPT – Bersempena Awal Tahun Baharu Hijrah 1442, Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Bahagian Perpustakaan Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong telah mengadakan peringkat akhir Peraduan Kuiz Hijrah 1442 bagi belia-belia masjid di Daerah Tutong.

Lima buah kumpulan belia masjid telah mengikuti pertandingan tersebut, antaranya Kumpulan Belia Masjid Pengiran Anak Haji Mohammed Alam, Kampung Sengkarai dan Kumpulan Belia Masjid, Kampung Penapar.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Pemangku Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Haji Masri bin Haji Mohammad.

Antara tujuan pertandingan adalah untuk memperingati kedatangan Awal Tahun Baharu Hijrah 1442 selain untuk memupuk semangat cintakan ilmu pengetahuan agama dalam kalangan belia.

Di samping itu, ia juga diadakan untuk membentuk akhlak yang sihat dan bersih dalam kalangan belia serta mengimarahkan dan menghidupkan suasana masjid sekali gus menjadikan masjid sebagai institusi ilmu yang berguna kepada semua masyarakat.

Dengan adanya peraduan seumpamanya diharap akan dapat melahirkan belia-belia yang cintakan ilmu, sama ada ilmu dunia mahupun ilmu akhirat.

Haji Masri ketika menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang.