Pupuk semangat kenegaraan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan hari ini, telah mengadakan Program Rakan Remaja Penerangan di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD).

Seramai 182 orang penuntut Tahun 10 menghadiri program berkenaan yang diadakan di dewan serba guna sekolah berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Ayup bin Haji Ghani.

Turut hadir ialah Pengetua SUAMPRIPAD, Pengiran Hajah Radiah binti Pengiran Haji Mohd Tahir, timbalan-timbalan pengetua dan tenaga pengajar.

Program bertujuan untuk menyebarluaskan maklumat dan kegiatan semasa kepada remaja terutama pelajar sekolah selain untuk mendekati para remaja di sekolah-sekolah supaya peka dengan perkembangan dan hal ehwal sekeliling mereka.

Awang Mohd Nurakram ketika menyampaikan taklimat kenegaraan ‘Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’.

Di samping itu juga bagi menanamkan semangat kenegaraan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar serta menjadikan pelajar sebagai ejen berkesan kepada rakan sebaya dan remaja, dalam penyebaran maklumat yang positif serta bagi memberikan kesedaran sivik dan semua golongan remaja ke arah pembentukan minda dan moral positif.

Dalam masa yang sama, ia juga diadakan untuk mendekati golongan belia dan remaja di sekolah-sekolah melalui seni hiburan yang terarah dan terpimpin.

Program bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan lagu patriotik ‘Bendera Negara’ beramai-ramai.

Manakala itu, taklimat kenegaraan bertajuk ‘Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’ disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan, Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Awang Mohd Nurakram bin Noraini @Bahrin.

Program diteruskan dengan tayangan klip video ‘Semarak Pengibaran Bendera Negara’, persembahan drama oleh pelajar-pelajar SUAMPRIPAD, persembahan nyanyian solo daripada Jabatan Penerangan,

persembahan lawak jenaka dan kuiz kenegaraan diikuti dengan penyampaian hadiah kuiz dan cenderahati oleh tetamu kehormat.