Pupuk semangat kenegaraan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan telah mengadakan Program Taklimat Kenegaraan, Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, pada hari ini, di Bilik S21, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS).

Berangkat bagi mendengarkan taklimat tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah bersama Pengetua Sekolah Menengah JIS, Richard Bourbon dan 48 orang pelajar Tahun 7 sekolah berkenaan. Program Taklimat Kenegaraan adalah salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara; dan mengukuhkan semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri pelajar melalui lagu kebangsaan dan bendera negara. Taklimat telah disampaikan oleh Pemangku Pegawai Penerangan Kanan, Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya, selaku ketua Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Jabatan Penerangan.

Dalam taklimat tersebut, beliau antara lain menyentuh mengenai raja, tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan terperinci.

Para pelajar juga menyaksikan klip video ‘Kibarkanlah Dengan Megah Bendera Negara’; ‘Semarak Pengibaran Bendera Negara’ dan video animasi ‘Tatacara Menaikkan Bendera Negara’. Selain itu, mereka juga berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan.  Taklimat diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pelajar yang berjaya menjawab kuiz kenegaraan.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah berangkat pada program taklimat berkenaan bersama pelajar-pelajar Tahun 7 JIS yang lain.