Pupuk semangat kesetianegaraan

Oleh Daniel Lim
Gambar oleh Sekolah Alif

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Dalam usaha memupuk semangat kesetianegaraan serta sama-sama melahirkan rasa cinta kepada raja dan negara di kalangan pelajar, Sekolah Alif Kuala Belait baru-baru ini telah menganjurkan Sambutan Hari Kebangsaan bertempat di Kompleks Sukan Mumong.

Hadir untuk menyaksikan acara yang diadakan adalah Ketua Kampung Mumong, Haji Yusof bin Haji Dulamin dan Pemangku Penolong Superintendan Trek dan Padang, Awang Gaung bin Jamit.

Acara bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan dan lafaz ikrar oleh semua pelajar yang hadir.

Pelbagai aktiviti yang memaparkan semangat kesetianegaraan dan kebangsaan turut dianjurkan, antaranya perarakan di mana semua pelajar membawa tanglung yang direka mengikut bendera Brunei, Basikal Berhias dengan tema Hari Kebangsaan Brunei ke-36 serta pertandingan mewarna bendera untuk murid-murid Tadika 1 dan 2.

Acara berakhir dengan penyampaian hadiah untuk pelajar dengan pakaian terbaik, rekaan tanglung terbaik, reka bentuk basikal berhias terbaik dan pemenang untuk pertandingan mewarna.

Selain murid-murid, ibu bapa juga datang untuk memberikan sokongan penuh mereka dengan menyertai dalam aktiviti yang dianjurkan selain menyediakan hidangan ringan.

Sebahagian murid-murid yang mengambil bahagian dalam acara sempena Hari Kebangsaan ke-36.
Salah seorang pelajar menerima hadiah daripada ketua Kampung Mumong.
Antara pelajar yang mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna.