Pupuk semangat kesukarelawan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Dengan hasrat untuk memupuk semangat kesukarelawanan dan kebajikan dalam kalangan kakitangannya, kira-kira 150 orang kakitangan Nex.Us, sebuah syarikat pembangunan di bawah TelBru, mengambil bahagian dalam kerja-kerja kebajikan di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), Bengkurong, hari ini.

Kegiatan tersebut yang merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan, telah menyaksikan kakitangan-kakitangan dibahagikan kepada beberapa buah kumpulan untuk mengecat, membersihkan bangunan Pusat Ehsan dan juga beberapa orang kakitangan turut memotong rumput di sekitar premis bangunan berkenaan.

Salah seorang ketua dari Case Support Division Responsible for Communications, Haji Ideris bin Haji Ali menerangkan bahawa kerja-kerja kebajikan yang dilakukan itu adalah sebahagian daripada inisiatif CSR bagi Nex.Us di mana kakitangan syarikat mengambil bahagian dalam kerja-kerja membersihkan bangunan Pusat Ehsan serta juga persekitaran bangunan berkenaan.

Sebagai sebuah syarikat baharu ditubuhkan, Nex.Us mengadakan aktiviti sedemikian dengan matlamat untuk mempromosikan tanggungjawab korporat dan kesukarelawanan di kalangan kakitangan mereka.

Beliau menerangkan bahawa sebuah kumpulan kakitangan syarikat berkenaan turut mengadakan kegiatan kebajikan yang serupa di Pusat EDGE SMARTER Brunei di Kampung Mata-Mata.

Jelasnya, inisiatif berkenaan juga adalah sebahagian daripada program induksi bagi kakitangan Nex.Us dan menyatakan bahawa esok, mereka juga akan mengambil bahagian dalam kegiatan menanam kira-kira 200 pohon pokok di Hutan Simpan Berakas serta mengambil bahagian dalam kegiatan membersihkan pantai.

Di samping itu, aktiviti-aktiviti lain yang dikendalikan bagi program induksi berkenaan ialah sesi taklimat dari Darussalam Enterprise (DARe), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD).

Kakitangan Nex.Us mengecat bangunan Pusat Ehsan, Bengkurong baru-baru ini. – Gambar oleh Muiz Matdani