Thursday, October 10, 2024
30.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk semangat keusahawanan

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Bagi memberikan pendedahan tentang bidang keusahawanan seawal peringkat sekolah rendah, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dengan kerjasama Unit Akli, Jabatan Kokurikulum dan Radio Televisyen Brunei (RTB) telah menganjurkan Pertandingan Celik Biz bagi Sekolah-sekolah Rendah Senegara 2018.

    Sehubungan dengan itu, majlis penyampaian bagi wang modal pertandingan tersebut telah diadakan di Dewan Utama, Jabatan Perkembangan Kokurikulum, Bangunan Baharu Kementerian Pendidikan.

    Sebanyak 10 buah sekolah rendah telah menyertai pertandingan ini pada peringkat saringan yang telah diadakan pada 30 Ogos lalu, hanya lima buah pasukan sahaja berjaya ke peringkat akhir iaitu Sekolah St Andrew, Sekolah Chung Hua, Kuala Belait, Sekolah Fairview, Sekolah Cemerlang Abejess dan Sekolah Rendah Beribi Telanai.

    Para finalis yang berjaya masuk ke peringkat akhir akan diberikan wang modal sebanyak $50 bagi setiap pasukan untuk menjalankan perniagaan masing-masing bermula dari 24 September hingga 6 Oktober.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Mohamed Jais bin Haji Abdul Rahman.

    Awang Mohamed Jais menyampaikan wang modal kepada salah sebuah sekolah yang menyertai pertandingan tersebut.

    Ketua Bahagian Perhubungan Kerajaan dan Projek-projek Khas BIBD, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah menyatakan mengenai kerjasama antara BIBD, Kementerian Pendidikan dan RTB, “Alhamdulillah, sokongan berterusan BIBD terhadap inisiatif-inisiatif kerajaan yang pro-keusahawanan seperti wang modal Pertandingan Celik Biz ini adalah sejajar dengan matlamat kami untuk memperkasa usaha-usaha untuk memangkin minat dan memupuk semangat dalam kegiatan dan sikap keusahawanan di Negara Brunei Darussalam.

    “Program-program seperti ini akan dapat menyokong strategi kemajuan perniagaan tempatan untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035,” ujar beliau.

    Pada masa yang sama, BIBD juga telah meningkatkan kemajuan dan kepelbagaiannya dari segi produk dan perkhidmatannya agar sejajar dengan peningkatan keperluan pelanggan dan juga perniagaan.

    Salah satu daripada kemajuan ini adalah pelancaran platform BIBD NEXGEN yang menyediakan pelbagai kemudahan mudahalih mesra perniagaan seperti BizNet dan QuickPay yang telah menaik taraf landskap perniagaan menjadi sebuah ekosistem kondusif, mampan dan dinamik.

    Dengan adanya pertandingan seumpama ini, ia diharap dapat melahirkan generasi berinovasi dan berani mengambil risiko untuk mencapai matlamat yang diharapkan, ia juga memberi peluang untuk belajar kemahiran yang lebih khusus untuk meningkatkan aktiviti komersial.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda