Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Pupuk semangat lindungi alam sekitar

    Oleh Nurdiyanah R.

    Alam sekitar merupakan ciptaan Ilahi yang begitu berharga bagi kesejahteraan seluruh kehidupan, bukan hanya bernilai dalam kehidupan manusia bahkan juga pelbagai jenis haiwan dan hidupan meliputi daratan dan lautan.

    Pastinya alam sekitar yang tidak tercemar memberikan kita suasana yang selesa dan menenangkan. Persekitaran yang bersih membolehkan kita menyedut udara yang segar. Kawasan yang segar dan bersih lazimnya dipenuhi dengan tumbuhan menghijau.

    Tumbuh-tumbuhan membebaskan oksigen ke udara dan membolehkan badan kita mendapat bekalan oksigen secukupnya.

    Oleh yang demikian dalam meniti persekitaran yang semakin mencabar meliputi ancaman pencemaran darat, laut dan udara ini, adalah menjadi kewajipan setiap individu untuk memahami, menghargai dan menyumbang kepada persekitaran bersih dan sihat.

    Sehubungan dengan itu, masyarakat di negara ini meliputi badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta bersama pihak kerajaan dilihat semakin bergerak aktif dan progresif dari semasa ke semasa bagi menyemai rasa tanggungjawab dan cintakan alam sekitar yang bersih.

    Setiap golongan masyarakat perlu sentiasa menanai tanggungjawab menjaga alam sekitar di bumi kita berpijak ini. – Gambar fail
    Pencemaran sampah seperti plastik sememangnya sudah menjadi kebimbangan di mata dunia sehingga mencetus pelbagai kesan negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia.
    Penggunaan beg kitar semula adalah digalakkan demi menyahut seruan kerajaan dan global untuk mengurangkan pencemaran plastik.

    Langkah menjaga alam sekitar

    Dalam usaha untuk mengembalikan kesegaran alam sekitar, beberapa langkah menjaga alam sekitar perlulah diambil. Salah satunya melalui pendedahan media massa termasuklah televisyen, radio, telefon bimbit, komputer dan akhbar.

    Kini, media massa memainkan peranan penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna. Media massa perlulah lebih banyak memberi maklumat tentang isu-isu pencemaran alam sekitar, terutamanya dalam siaran-siaran di televisyen. Hal ini kerana televisyen adalah satu media elektronik yang hampir dimiliki oleh setiap keluarga atau individu di setiap pelusuk dunia.

    Begitu juga akhbar dan majalah adalah media yang banyak mendedahkan tentang isu pencemaran alam sekitar. Dari semasa ke semasa, setiap manusia atau individu perlu mengetahui tentang keadaan alam sekitar yang semakin tercemar dan perkara yang sepatutnya dilakukan oleh mereka untuk menjaga alam sekitar.

    Seiring dengan peredaran zaman, pihak-pihak berkepentingan sepatutnya perlu mendedahkan isu-isu pencemaran ini dengan lebih luas di jaringan-jaringan Internet kerana masyarakat kini lebih banyak menggunakan media tersebut berbanding media-media lain.

    Selain itu, langkah untuk menjaga alam sekitar ialah melalui kempen alam sekitar. Antara kempen-kempen yang boleh dilakukan ialah kempen membersihkan pantai, kempen kitar semula dan sebagainya.

    Namun realitinya sedar atau mungkin tanpa disedari, penggunaan bahan plastik yang bukan sahaja beg plastik bahkan meliputi barangan plastik seperti straw, pembungkus plastik, pinggan mangkuk plastik, botol plastik dan sebagainya secara berlebihan tanpa dikawal telah menyebabkan berlakunya pencemaran sisa plastik sehingga mencetus pelbagai kesan negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia.

    Oleh yang demikian, dengan adanya kempen kitar semula, ia dapat menggalakkan para pengguna agar memanfaatkan semula bahan-bahan yang boleh dikitar semula. Dengan itu, masyarakat akan dapat berjimat-cermat dan dapat mengurangkan pencemaran.

    Dalam kempen alam sekitar ini juga, aktiviti-aktiviti seperti penanaman pokok-pokok bunga dan membersihkan kawasan-kawasan yang kotor boleh dijalankan. Penanaman pokok bunga bukan sahaja dapat mencantikkan alam sekitar tetapi dapat mengembalikan semula kehijauan sesuatu tempat serta dapat membuktikan betapa pentingnya hidupan hijau di bumi ini.

    Menerusi kempen-kempen yang dilaksanakan berterusan ini, seluruh masyarakat amnya tidak kira usia akan sentiasa menyedari tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan cara-cara menjaga alam sekitar seperti menguruskan sisa pembuangan supaya kurang memberi pencemaran kepada alam sekitar.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...